Jambatan Buloh Ditutup Bagi Kurangkan Risiko Runtuhan


KUALA SELANGOR - Laluan di kedua arah Jambatan Buloh, di sini ditutup bagi mengurangkan risiko runtuhan dan berkuatkuasa bermula hari ini jam 6 petang sehingga tempoh masa dimaklumkan kelak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Asisten Superintendan Asri A Wahab menjelaskan, hasil siasatan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor semalam mendapati, jambatan itu mengalami kegagalan struktur dan berisiko kepada pengguna.

"Penutupan jalan disyorkan di kedua lorong bagi mengurangkan risiko runtuhan jambatan berlaku bermula dari simpang Jalan Rancangan Api-api sehingga berdekatan hadapan Hospital Bersalin Metro.

"Orang ramai dinasihatkan menggunakan tiga laluan alternatif yang disediakan dan JKR Kuala Selangor juga memasangkan papan tanda lencongan bagi memudahkan pengguna," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif seperti dari Kuala Selangor ke Klang atau Klang ke Kuala Selangor melalui Jalan Persekutuan FT05 (Pekan Kuala Selangor)  - Jalan Rawang - Bukit Badong (B35) -Jalan Persekutuan FT54 -Jalan Persekutuan FT05 (Assam Jawa).

"Bagi pengguna kenderaan ringan, mereka boleh melalui Jalan Persekutuan FT05 (Pekan Sg Buloh)  - Jalan Rancangan Api-Api-Jalan Cengal (Jalan Perumahan) -Jalan Perusahaan 2 (Jalan Perumahan- Balai Polis K. Sel ) -Jalan Persekutuan FT05 (Pekan Kuala Selangor).

"Laluan ketiga untuk kenderaan ringan sahaja, mereka boleh melalui Jalan Persekutuan FT05 (Pekan Kuala Selangor)  - Jalan Rawang - Jalan Kelab atau Jalan Teluk Piai Kanan -Jalan Persekutuan FT54 -Jalan Persekutuan FT05 (Assam Jawa).

"Sebarang pertanyaan mengenai penutupan ini boleh dirujuk ke JKR Daerah Kuala Selangor melalui talian 0332891040. Sebarang kesulitan amat dikesali," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com