Isu Zakir Naik: Kerajaan Mohon Batal Saman


KUALA LUMPUR - Kerajaan memfailkan permohonan membatalkan saman pemula Pengerusi Hindraf P, Waytha Moorthy bersama 18 individu lain terhadap Dr Zakir Naik berhubung dakwaan pendakwa antarabangsa itu sebagai ancaman negara.

Peguam, S Karthigesan yang mewakili plaintif berkata, permohonan itu difailkan defendan pada Rabu.

"Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk pendengaran, namun Hakim Mahkamah Tinggi, Azizah Nawawi menetapkan 21 September depan untuk pendengaran saman plaintif dan permohonan defendan," katanya.

Menurutnya, pihaknya belum menerima dokumen bantahan tersebut.

"Kami tidak tahu apa isu defendan kerana dokumen belum diperoleh," katanya.

Pada prosiding dijalankan di dalam kamar itu, kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Natra Idris.

Selain Waytha Moorthy, plaintif lain termasuklah aktivis Dr Lim Teck Ghee, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dari STAR (Parti Solidariti Tanah Airku) Sabah dan peguam, Siti Zabedah Kassim menamakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Polis Negara (KPN) dan kerajaan sebagai defendan.

Dalam permohonan yang difailkan pada 1 Mac lalu, mereka menuntut perintah perisytiharan bahawa penceramah terkenal itu merupakan ancaman kepada ketenteraman rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini dan perlu ditangkap serta-merta.

Zakir juga didakwa telah menggalakkan keganasan, dihalang memasuki beberapa negara kerana disyaki bekerjasama dengan beberapa kumpulan pengganas selain memberi dorongan kepada warga asing yang berada di negara ini untuk mengganggu ketenteraman awam.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com