Insiden Kebakaran Calar Imej Institusi Islam


KOTA BHARU - Polis digesa supaya menyiasat punca sebenar kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung, Kuala Lumpur, baru-baru ini yang telah mengorbankan 23 nyawa.

Yang Dipertua Pertubuhan Kasih Anak Yatim Malaysia (KAYMA), Dr. Zulkeflee Yaacob berkata, tindakan sewajarnya perlu diambil dengan segala kepakaran yang ada memandangkan kejadian tersebut telah menyebabkan orang ramai memandang serong terhadap institusi tahfiz.

"Teliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang menunjukkan ada seorang lelaki menceroboh ke kawasan premis bersebelahan pusat tahfiz berkenaan.

"Kami dari Pertubuhan KAYMA juga merakam takziah kepada keluarga dan percaya mereka mati syahid kerana berada dalam posisi menuntut ilmu kalam Allah," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Zulkeflee berkata, pihaknya turut kesal dengan pelbagai spekulasi yang timbul berhubung kejadian berkenaan.

"Pelbagai komen terhadap kejadian itu termasuk sekolah tahfiz gagal mematuhi piawai keselamatan dan tidak semua ustaz tahfiz baik dan maksum.

"Perkara ini amat dikesali dan tidak wajar dilemparkan terutama dari mereka yang berstatus Mufti kerana pendidikan agama khususnya di sekolah tahfiz dan pondok kekurangan dana, fasiliti dan sumber," katanya.

Tambah beliau, kerajaan persekutuan mahupun negeri perlu menyediakan dana dan sumber selaras dengan peruntukan undang-undang bahawa agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan statusnya lebih tinggi daripada pelbagai agama yang diamalkan penduduk di Malaysia.

"Bertitik tolak dari kebakaran yang mengorbankan nyawa 21 pelajar dan dua warden serta menyedari hakikat keperluan institusi berkenaan, kerajaan telah mengumumkan peruntukkan RM30 juta.

"Oleh itu, semua pihak perlu komitmen untuk menyokong pengurusan dan pentadbiran pendidikan berteras agama Islam mendapat pembelaan,"katanya.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com