Haji: Malaysia Rakam Setinggi Penghargaan Kepada Saudi


MINA – Malaysia menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang cemerlang menguruskan lebih dua juta jemaah dari seluruh dunia pada musim haji tahun ini.

Perkara tersebut dinyatakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi Arab Saudi.

Pada Sabtu di sini, Asyraf Wajdi yang mewakili kerajaan Malaysia, bersama wakil kerajaan negara lain, menghadap Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan Putera Mahkota, Putera Mohamad Salman.

Sementara pada Jumaat, beliau mengetuai delegasi Lembaga Tabung Haji (TH) mengadakan pertemuan rasmi dengan Gabenor Makkah, Putera Khalid al-Faisal Al-Saud.

Pada kedua-kedua pertemuan itu, Asyraf Wajdi turut menyampaikan penghargaan dan terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, atas layanan diberikan kerajaan Arab Saudi kepada jemaah haji Malaysia.

Asyraf Wajdi berkata beliau juga menyampaikan hasrat kerajaan mempelawa Putera Mohamad datang ke Malaysia untuk merasmikan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Kuala Lumpur.

“Dalam pertemuan itu, Putera Mohamad dalam gurauannya menyatakan, ini janji saya kepada Perdana Menteri (Najib) dan (Menteri Pertahanan) Datuk Seri Hishammuddin (Tun Hussein), ‘sudah tentu saya tidak pernah melanggar janji’…ia sesuatu yang positif dalam suasana amat ceria,” katanya.

Beliau berkata usaha kerajaan Arab Saudi mengendalikan pergerakan jemaah haji terbesar dalam tempoh lima hari melibatkan empat kawasan utama – Masjidilharam, Arafah, Muzdalifah dan Mina – bukannya sesuatu yang mudah, dan disifatkannya sebagai ’amat luar biasa’.

Dalam pada itu, ketika pertemuan dengan Putera Khalid al-Faisal di pejabatnya, Asyraf Wajdi mengambil peluang memaklumkan secara rasmi hasrat dan cadangan Malaysia melalui TH untuk bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi berhubung pembinaan Kompleks TH di Makkah.

Beliau berkata kompeks itu dijangka mampu menampung keseluruhan jemaah haji Malaysia sepertimana pernah dibincangkan Perdana Menteri dengan Raja Salman ketika lawatan rasmi baginda ke Malaysia, Februari lepas.

“Dengan adanya kerjasama itu akan menjadikan usaha pengurusan haji Malaysia lebih efisien dan mampu mengurangkan kos pengurusan haji untuk jangka panjang,” katanya.

Turut hadir dalam pertemuan itu Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Zainol Rahim Zainuddin; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah serta beberapa Anggota Lembaga Pengarah TH. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com