Dua Beradik Cedera Diragut Penunggang Motosikal Di Gurun


GURUN - Dua beradik perempuan berusia 26 dan 24 tahun cedera akibat diragut di tepi jalan berhampiran sebuah pasar raya dekat sini pada jam 8.20 malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Supt Saifi Abdul Hamid berkata sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka selepas mengunjungi pasar malam di Guar Chempedak.

"Sewaktu menuruni jejambat, seorang lelaki menunggang motosikal yang datang dari arah belakang menarik beg milik kakaknya yang diletakkan di dalam raga motosikal, menyebabkan mangsa berusia 24 tahun itu terkejut dan gagal mengawal motosikalnya lalu terjatuh di tepi jalan.

"Suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha 125Z, memakai topi keledar berwarna hitam dan bercermin gelap kemudiannya memecut melarikan diri bersama-sama beg berisi kad pengenalan, sebuah telefon bimbit jenis Lenovo, kad bank BSN dan RHB, serta lesen milik kakak mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Menurutnya, penunggang motosikal itu mengalami luka pada siku kanan serta kedua-dua belah lutut, manakala kakaknya cedera di kening dan bahagian bawah mata.

"Siasatan awal mendapati suspek tidak menggunakan senjata dan melakukan jenayah bersendirian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com