Doa Guru Iringi Calon UPSR SK Penghulu Ahmad Dari Langkawi


BACAAN doa beramai-ramai dan kata-kata semangat terakhir daripada guru mengiringi 135 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ke dewan peperiksaan di Sekolah Kebangsaan Penghulu Ahmad (SKPA) di Langkawi, hari ini.

Tinjauan mendapati, murid tahun enam terbabit yang terdiri daripada 75 lelaki dan 60 perempuan dikumpulkan dalam dewan sebelum membaca doa dan mendengar pesanan guru bertugas.

Guru Besar SKPA, Hairus Salleh Harith berkata, selain doa dan kata-kata semangat daripada guru, sekumpulan ibu bapa juga turut membaca Yasin di bilik khas sepanjang murid terbabit menjawab peperiksaan.

"Program begini menjadi kelaziman dilakukan waris murid sekolah ini pada setiap kali UPSR dan ia dirancang oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru dengan kerjasama Majlis Guru SKPA.

"Doa guru, kata-kata semangat dan kehadiran ibu bapa membaca Yasin di sekolah boleh memberi semangat dan keyakinan kepada calon UPSR yang melangkah masuk ke dewan peperiksaan," katanya.

Hairus Salleh berkata, semua calon UPSR sekolah itu menduduki dua kertas peperiksaan hari ini iaitu Bahasa Melayu Pemahaman yang bermula pada 8.15 pagi dan Bahasa Melayu Penulisan pada 10.45 pagi.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com