Detik Manis Siti, Datuk K Dalam Video Muzik


KUALA LUMPUR - Datuk Siti Nurhaliza sempat merakamkan video muzik bagi single ketiga, Aku Bukan Malaikat, biarpun sebelum ini mengumumkan memperlahankan karier seninya.

Video muzik lagu ciptaan komposer Indonesia, Opick daripada album terbaharunya, SimetriSiti itu dilancarkan kira-kira seminggu lalu di laman YouTube Vevo Siti Nurhaliza.

Siti memberitahu, buat pertama kalinya, video muzik terbitan Siti Nurhaliza Production (SNP) dan Universal Music Malaysia itu menggunakan khidmat Azhar Rasa daripada syarikat produksi, Rasafilm.co sebagai pengarah.

Penggambaran dilakukan di kediaman penyanyi Cindai itu di Bukit Antarabangsa, di sini pada 28 Julai lalu, disusuli Pulau Duyong, Kuala Terengganu, pada 8 Ogos.

"Siti amat menggemari lagu Aku Bukan Malaikat. Jadi, sesuai sangatlah apabila video muziknya diterbitkan. Dapatlah juga mengubat rindu peminat.

"Bagi penggambaran membabitkan Siti, ia hanya memakan masa empat jam. Malah, Siti bersolek sendiri dan menukar dua persalinan. Ia video yang boleh dikatakan ringkas. Cuma, bagi menampakkan elemen dramatik, kami menggunakan khidmat dua pelakon dari Terengganu," katanya kepada BH Online.

Pemenang Anugerah Sri Perak, Anugerah Bintang Popular BH 2012 ini, dia turut mengabadikan detik manis bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamed Jiwa sepanjang mendirikan rumah tangga dalam video muzik terbabit.

"Ini kena dengan liriknya yang berkisar perasaan seorang isteri terhadap suami dan kehidupan berumah tangga. Justeru, video muzik ini sesuai dijadikan kenangan sempena ulang tahun perkahwinan kami," katanya yang bernikah dengan usahawan berkenaan pada 21 Ogos.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com