DAP, PAN Berjaya Halang Usaha Azmin Jalinkan Kerjasama PKR-PAS


PRESIDEN PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa Pakatan Harapan enggan membenarkan PKR bekerjasama dengan PAS. 

Malah dalam PKR sendiri ada yang menentang usaha Azmin untuk mengajak PAS berunding mengenai 'kerusi' pada PRU14, khususnya di Selangor.

Walaupun PAS sedia membuka pintu rundingan, ia tidak akan diterima oleh sekutu Pakatan Harapan terutama DAP dan PAN.

Di Selangor umpamanya, DAP sejak dari awal lagi mahu PAS dikeluarkan daripada kerajaan negeri.

Seperti orang bertandang ke rumah, PAS menyambut tetamunya, PKR dengan 'senyuman' sesuai dengan pendekatan baharunya Budaya Politik Matang dan Sederhana (BPMS) dan 'PAS Untuk Semua'.

Namun PAS juga menyedari kehadiran PKR itu hanya untuk 'menghidupkan semula' hubungan PKR -PAS semata-mata menghadapi pilihan raya umum ke-14 walaupun kerjasama politik antara dua parti itu telah ditamatkan Mei lalu. 

Azmin yang juga Menteri Besar Selangor akur untuk menghentikan rundingan kerjasama dengan PAS seperti mana Lim Guan Eng akur dengan PKR yang tidak bersetuju dengan cadangan pilihan raya negeri awal di Pulau Pinang.

"PKR secara rasmi ti­dak akan mengadakan kerjasama dengan PAS, sebaliknya mahu memberi fokus untuk menyusun strategi bagi menghadapi pertandingan tiga penjuru", Azmin memberitahu wartawan semalam.

Menurut Azmin lagi, pendirian terbaharu PKR itu selaras dengan keputusan mesyuarat majlis presiden pakatan yang dianggotai bersama DAP, PAN dan PPBM pada Isnin lalu.

“Keputusan tidak ada kerjasama de­ngan PAS kita terima dan akan laksanakan. Fokus kita sekarang ialah untuk membina jentera bagi PRU-14,” katanya selepas meng­­hadiri Sambutan Hari Kebangsaan 2017 Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di Shah Alam.

Beliau ditanya sama ada keputusan tidak me­nga­dakan kerjasama de­ngan PAS itu bercanggah dengan kenyataannya pada 26 Ogos lalu yang menegaskan usaha tersebut adalah inisiatif PKR dan bukan pakatan pembangkang.

Azmin bagaimapun menyifatkan kenyataannya yang terdahulu membuka rundingan dengan PAS sebagai tidak lagi relevan atau terpakai  ketika ini.

Beliau bagaimanapun seolah -olah masih mempertahankan kenyataan itu walaupun Majlis Pakatan Harapan mengambil keputusan untuk tidak mahu mana-mana parti bekerjasama dengan PAS.

“Itu pendirian PKR mengadakan rundingan dengan PAS sebelum ini, bukan saya yang batalkan. Majlis presiden pakatan merasakan tempoh PRU-14 makin dekat, maka kita kena siapkan jentera di peringkat bawah,” katanya.

Kenyataan Azmin itu menunjukan bahawa yang 'membatalkan' rundingan PKR-PAS adalah Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad (PPBM) serta barisan kepimpinan daripada DAP, PAN dan PKR.

Rundingan untuk mengadakan kerjasama PKR-PAS itu menyebabkan pertelingakan dalaman PKR sehingga naib presidennya, Rafizi Ramli mendakwa PKR telah berpecah dua sementara Ahli Parlimen Selayang meletak jawatan ahli biro politik parti itu baru-baru ini.

Usaha untuk bekerjasama semula dengan PAS itu juga menyebabkan PKR Kelantan terbahagi dua hingga Ketua AMK PKR negeri dipecat daripada parti. - kedahnews.com 


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com