Cuaca Mendung, Bacaan Al-Quran Iringi Kesedihan Rakyat Di Atas Kemangkatan Sultan Kedah



ALOR SETAR - Cuaca pagi yang mendung pagi ini bagai mengiringi kesedihan rakyat berikutan kemangkatkan Sultan Kedah, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah petang semalam.

Bacaan ayat-ayat suci al-Quran di istana, stesen radio, TV dan masjid memecah keheningan malam hingga ke pagi.

Sejak awal pagi ini para petugas istana yang lengkap berpakaian serba hitam, sibuk dengan tugas masing-masing bagi memastikan istiadat pemakaman diraja berjalan lancar.
Para petugas media pula dilihat sedang membuat persiapan peralatan dan menentukan kedudukan mereka.

Mengikut jadual Istiadat Bersiram Jenazah bermula pukul 8 pagi dan diikuti istiadat mengkafan dan menabur cendana.


Rakyat jelata diberi peluang memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum bermula 11 pagi hingga 12.30 tengah hari diikuti golongan kenamaan pada 12.30 tengah hari hingga 1.30 tengah hari di ruang bersemayam di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit.

Jenazah Almarhum akan diiring dari Istana Anak Bukit ke Makam Diraja Langgar dijadual bermula 2 petang dan istiadat dijangka selesai menjelang Asar.

Bendera negeri dan persekutuan separuh tiang mula dikibarkan di pejabat kerajaan.


Sementara orang ramai mula membanjiri ke Istana Anak Bukit pagi dan sekitar Makam Diraja Langgar nuntuk memberikan perhormatan terakhir.

Puluhan ribun lagi berada di sepanjang laluan yang membawa kenderaan khas yang membawa Almarhum Tuanku Abdul Halim ke Makam Diraja Langgar yang terletak  kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar.  - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com