Bimbang Pakatan Dikuasai DAP, Mahathir Berhempas Pulas Beri Penjelasan?


PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad 'dihantui kebimbangan' apabila DAP dikatakan akan terus menguasai atau mendominasi Pakatan Harapan, gabungan parti pembangkang Melayu yang dianggotai PKR, PAN dan PPBM. 

Ini memandangkan DAP memiliki kerusi yang lebih banyak di Dewan Rakyat dan suaranya boleh mempengaruhi halatuju parti itu jika memenangi PRU 14 akan datang. 

Dr.Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan 'terpaksa' meyakinkan penyokong PPBM dengan  menolak dakwaan bahawa DAP akan mendominasi gabungan Pakatan Harapan.

Beliau bagaimanapun mengaku kerusi Ahli Parlimen DAP melebihi sedikit berbanding wakil rakyat Melayu.

Namun bagi meredakan keresahan orang Melayu, beliau memberi alasan bahawa kawasan dan wakil rakyat bukan Melayu tidak melebihi (kerusi) Melayu.

“Tiga buah parti Melayu dalam PH jauh lebih ramai tetapi PH tidak akan mengabaikan tanggungjawab dan keadilan terhadap bukan Melayu, layanan terhadap mereka akan menjadi sebahagian dari dasar kami,” katanya yang dipetik daripada FMT.

 Dr.Mahathir berkata demikian merujuk pernyataan beberapa pemimpin UMNO, PAS dan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri bahawa Pakatan Harapan dikuasai oleh DAP walaupun tidak ditonjolkan pada barisan kepimpinan utama gabungan itu.

Bagi orang Melayu yang menyokong PAN, PPBM dan PKR, mereka juga menyedari tidak semua kerusi milik PKR diwakili oleh orang Melayu walaupun pucuk pimpinan Melayu. 

Berucap di majlis sambutan ulangtahun pertama PPBM di Bakri, Johor malam semalam Dr. Mahathir memberi keyakinan itu dengan membuat bandingan bahawa parti MCA, MIC dan Gerakan juga tidak mendominasi Barisan Nasional.

Dr Mahathir juga mengakui PPBM ada kelemahan tetapi yakin ia dapat diatasi.

“Ya. Memang PPBM menghadapi masalah. Tetapi hampir semua masalah ini telah dan akan diselesaikan.

“PPBM yakin akan kekuatannya dan keupayaannya memainkan peranan penting dalam gabungan parti lawan, Pakatan Harapan,” katanya lagi.

“Kami dalam PPBM dan PH tidak menuntut apa-apa untuk diri kami dari rakyat.

“Di negara lain, rakyat sanggup mati untuk negara, yang kami pohon hanyalah undi bagi kami pada pilihan raya umum (PRU) ke-14,” katanya. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com