Belum Ada Kelab Buat Tawaran Rasmi - Thanabalan


KUALA LUMPUR - "Belum ada kelab sama ada dari dalam dan luar negara yang menawarkan kontrak secara rasmi kepada saya untuk menyertai mereka musim depan," kata penyerang skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, N Thanabalan ketika dihubungi BH Sukan sebentar tadi.

Pemain FELCRA FC kelahiran Negeri Sembilan yang menyumbangkan empat gol dalam enam penampilan sulungnya di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), bulan lalu itu berkata semua tawaran itu lebih bersifat khabar angin semata-mata.

"Memang banyak orang bercerita ada kelab yang mahu ambil saya bermain dengan mereka tetapi sehingga sekarang saya tidak menerima sebarang tawaran rasmi.

"Saya pun tidak pasti sama ada laporan itu betul atau tidak. Selagi tak ada tawaran rasmi, lebih baik saya duduk diam. Saya mahu fokus bersama FELCRA FC kerana sasaran kami untuk layak ke Liga Perdana, musim depan," katanya.

Thanabalan berkata demikian ketika mengulas laporan media bahawa banyak kelab tempatan dan luar negara berminat mendapatkan khidmatnya selepas tempoh pinjamannya dari Negeri Sembilan kepada FELCRA FC tamat akhir tahun ini.

Media sebelum ini melaporkan enam pemain muda negara kini menjadi buruan beberapa kelab liga utama Thailand selepas mempamerkan aksi cemerlang pada temasya KL2017 bulan lalu.

Mereka ialah pemain pertahanan, Adam Nor Azlin (Selangor) dan Muhammad Adib Zainudin (FELCRA FC); pemain tengah, Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang), Nor Azam Azih (Pahang) dan penyerang, Jafri Firdaus Chew (Pulau Pinang) dan Thanabalan.

Mengulas lanjut, Thanabalan tidak menolak kemungkinan akan berhijrah ke pasukan lain sekiranya FELCRA FC gagal layak ke Liga Perdana, pada tahun depan.

"Jika FELCRA FC gagal ke Liga Perdana, saya terpaksa berhijrah ke pasukan Liga Perdana atau Liga Super. Ini perlu bagi membolehkan saya bermain di peringkat lebih tinggi dan mencipta peluang bermain dengan skuad Harimau Malaya yang sememangnya menjadi idaman saya.

"Jika saya terus bersama FELCRA FC sekiranya masih di Liga FAM, bermakna saya tidak layak bermain dengan pasukan senior kebangsaan. Sebab itu saya bertekad membantu FELCRA FC layak ke Liga Perdana bagi membolehkan saya terus mengasah bakat dan menimba pengalaman di peringkat tertinggi," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com