Belasungkawa: Mangkatnya Sultan Kesayangan Rakyat Kedah Serata-Rata


ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, mangkat semalam pada usia 89 tahun, setelah memerintah Kedah selama 59 tahun.

Sultan berjiwa rakyat ini menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.30 petang, di Istana Anak Bukit, di sini.

Almarhum baginda begitu disenangi oleh semua, kerana cukup dikenali dengan perwatakan baik, pertuturan lembut dan merendah diri yang menjadikan baginda kesayangan rakyat Kedah.

Almarhum baginda yang kembali menaungi negeri setelah bersemayam di takhta pemerintahan negara selama lima tahun pada 12 Dis 2016, melakar sejarah tersendiri apabila ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, Ketua Negara Malaysia, sebanyak dua kali.

Pelantikan pertama ialah sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 21 Sept 1970 untuk tempoh lima tahun hingga 20 Sept 1975.

Tiga puluh enam tahun kemudian, Almarhum baginda dilantik pula sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 mulai 13 Dis 2011 hingga 12 Dis 2016.

Pemilihan Almarhum Sultan Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dianggap istimewa kerana kitaran masa bagi seseorang Raja naik takhta sebagai Ketua Negara melalui sistem penggiliran Majlis Raja-Raja yang unik di dunia, mengambil masa panjang.

Diputerakan pada 28 Nov 1927, di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Almarhum baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titian Gajah sebelum menyambung pelajaran di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.

Almarhum baginda melanjutkan pengajian di Wadham College, Oxford, London pada 1952 dalam jurusan Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam sebelum kembali ke tanah air setelah menamatkan pengajian pada 1955.

Almarhum Sultan Abdul Halim dilantik sebagai Raja Muda Kedah sewaktu di United Kingdom pada 6 Ogos 1949 dan menaiki takhta pada 14 Julai 1958 berikutan kemangkatan ayahanda Almarhum baginda, Almarhum Sultan Badlishah dan ditabalkan secara rasmi sebagai Sultan Kedah pada 20 Feb 1959.

Almarhum baginda berkahwin dengan Almarhum Tuanku Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman dan kemudian menikahi Sultanah Haminah Hamidun.

Perkahwinan Almarhum baginda dengan Tuanku Bahiyah dikurniakan tiga puteri, Tengku Soraya (1961) Almarhum Tengku Sarina (diputerikan pada 1961 dan mangkat pada 1991) dan Tengku Intan Safinaz (1967).

Berikutan kemangkatan Tuanku Bahiyah pada 27 Ogos 2003, Sultanah Haminah dimasyhurkan sebagai Sultanah Kedah pada 9 Jan 2004.

Almarhum Sultan Abdul Halim yang merupakan pencinta alam semula jadi, mempunyai sebuah zoo mini yang menempatkan pelbagai jenis burung dan binatang, termasuk kuda, kijang, landak, anak buaya tembaga, monyet dan arnab.

Walaupun sibuk dengan pelbagai urusan pemerintahan, Almarhum baginda masih ada masa untuk aktif dalam sukan kegemarannya - golf, selain turut meminati sukan bola sepak dan memberi perhatian serius terhadap perkembangan pasukan negeri Kedah dan pasukan negara.

Kemangkatan Sultan Abdul Halim pastinya amat dirasai dan jasa Almarhum baginda selama memayungi negeri Kedah tetap dikenang dan disanjung tinggi oleh seluruh lapisan rakyat jelata.

Jenazah Almarhum Sultan Abdul Halim kini disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit untuk memberi peluang kepada rakyat memberi penghormatan terakhir dari 11 pagi hingga 12.30 tengah hari ini.

Manakala penghormatan untuk orang kenamaan pula bermula dari 12.30 tengah hari hingga 1.30 tengah hari.

Jenazah Almarhum baginda kemudian akan dibawa melalui Lebuhraya Darulaman, Jalan Tun Razak, Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan Jalan Langgar sebelum ke Makam Diraja Langgar untuk dimakamkan pada 4 petang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah bMd Hanipah berkata, sepanjang tiga hari bermula semalam, bendera Kedah, bendera Persekutuan dan lain-lain hendaklah dikibarkan separuh tiang manakala tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari.

"Dalam waktu tersebut, semua bentuk hiburan keramaian dan perayaan adalah dibatalkan," katanya pada sidang media yang diadakan lewat petang semalam.

Semoga roh baginda dicucuri rahmat, serta ditempatkan bersama para anbiya', sahabat-sahabat dan para syuhada' yang diredhai Allah SWT, Al-Fatihah... – Kedahnews.com

Alfatihah. - Bernama/Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com