Belanja Durian McFlurry: ""Siapa Kata Perpaduan Tidak Wujud Lagi?"


"SIAPA kata perpaduan tidak wujud lagi di kalangan masyarakat Malaysia?”

“Siapa kata kita tidak menghormati sesama sendiri tanpa mengira kaum dan warna kulit?”

Baru-baru ini, seorang netizen Subash Chandrabose Arumugam Pillai membuktikan ikatan persaudaraan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum masih wujud.

Menerusi akaun Facebook-nya, Subash berkongsi kisah bagaimana seorang wanita Melayu yang tidak dikenali berbual dengannya ketika sama-sama beratur menunggu giliran membuat pesanan di sebuah restoran makanan segera di Putrajaya.

“Saya pergi ke McDonald’s di Presint 2. Oleh kerana kereta di laluan pandu lalu agak banyak, saya mengambil keputusan untuk beratur di kaunter restoran makanan segera itu.

“Namun, malang sekali jumlah pelanggan di dalam restoran itu juga ramai," tulis Subash.

Pekerja yang rajin

“Seorang gadis muda Melayu, dengan senyuman manis, mengambil pesanan dari dua kaunter berbeza. Dia mengambil pesanan dan melakukan transaksi.

“Kemudian dia berpindah ke kaunter seterusnya untuk melayani pelanggan seterusnya.

“Ini satu pekerjaan yang memenatkan. Tetapi saya perhati dia masih tersenyum dan mengucapkan terima kasih kepada setiap pelanggan. Dia juga mengambil pesanan dengan nada yang sopan.”

Pelanggan lain turut puji

Wanita Melayu di hadapan saya berkata, “Dia begitu berbakat dan dedikasi dengan tugasnya, saya kagum dengan CARA dia mengendalikan kedua-dua kaunter."

"Ya, saya pun memerhatikannya sejak tadi,” tulis Subash lagi.

Belanja ais krim sempena Hari Kebangsaan

Apabila tiba giliran wanita itu, dia bertanya kepada saya: "Awak pasti hanya mahu Durian McFlurry? Saya boleh pesan sekali."

Saya berkata, "Ya, Durian McFlurry saja."

“Saya keluarkan wang dari dompet dan berikan kepadanya.”

Dia menolak tangan saya dan berkata, “Tak apa, saya belanja sempena Hari Kebangsaan.”

“Terkejut seketika. Adakah ini yang dipanggil melakukan perkara yang baik?

“Saya amat menghargainya dan saya beritahu dia yang saya akan kongsikannya di media sosial.

Bangga lahir di Malaysia

“Ini bukan tentang perasaan terharu kerana dapat makanan percuma, tetapi tentang kebaikan seseorang.

“Saya dari Kanchong Darat. Saya tahu gaya hidup kampung. Tiada isu perkauman. Melayu, Cina dan India hidup bersama sebagai keluarga.

“Kita tidak melihat perpaduan sebegitu di bandar.

“Tetapi, selepas melihat mereka berdua, saya mula beroleh harapan. Kita mampu membina negara yang lebih baik.

“Saya bangga lahir di sini. Saya bangga sebagai anak Malaysia," tulis Subash mengakhiri kenyataannya itu.

Posting Subash meraih lebih 22,000 likes dan dikongsi lebih 7,000 kali. 

Sumber:Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com