Banjir Di Kulim Surut


KULIM - Enam keluarga mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Surau Kampung Tebuan, di sini, sejak malam tadi dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Perkara itu disahkan Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini.

Berikutan itu, katanya, pusat pemindahan terbabit ditutup jam 9.30 pagi tadi.

Dalam kejadian malam tadi, sekurang-kurangnya 19 kediaman di dua kawasan iaitu Kampung Tebuan dan Kampung Jalan Baru, dekat Sedim, di sini, dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang melanda.

Daripada jumlah itu masing-masing tiga keluarga dari Kampung Tebuan dan Kampung Jalan Baru diarah berpindah ke pusat pemindahan sementara bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Chua Tion Ghee, turut meluangkan masa meninjau lokasi pusat pemindahan banjir malam tadi bagi memastikan keperluan semua mangsa disediakan.

Beliau berkata pihaknya dengan kerjasama agensi berkaitan akan memastikan semua mangsa terjejas dibantu sewajarnya terutama yang ditempatkan di pusat pemindahan yang dibuka itu.

Sementara itu, kebanyakan mangsa banjir mengambil kesempatan cuaca elok pagi ini untuk membersih kediaman masing-masing yang diselaputi lumpur akibat banjir kilat.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com