'Arwah Luah Tidak Sedap Hati, Ingin Pulang Ke Rumah'


SEREMBAN - "Arwah rasa tidak sedap hati dan meluahkan yang dia ingin pulang ke rumah sejak dua minggu yang lalu," kata Norazlina Bakry, 36, ibu kepada mangsa kebakaran  Pusat  Tahfiz  Darul Quran Ittifaqiah, Muhammad Fahmie Abdullah.

Norazlina berkata kali terakhir dia berjumpa anaknya dua minggu lepas adalah ketika dia ingin menghantar anaknya ke madrasah itu, Muhammad Fahmie, 11 ketika itu menangis dan merajuk tidak mahu belajar di madrasah berkenaan.

 "Tanda-tanda awal ketika arwah hendak pergi ialah dia kuat merajuk dan dari mukanya nampak sedih sangat-sangat serta ketika menghantarnya belajar dia memeluk saya berulang kali dan membuatkan saya hairan.

Hari berikutnya anak saya juga ada menelefon dan meminta untuk menghantar rendang dan pulut kuning kerana beliau teringin hendak makan sambil menelefon saya serta adik saya hari-hari berkata ingin balik," katanya selepas pengkebumian jenazah Muhammad Fahmie  di sini, hari ini.

Norazlina berkata Muhammad Fahmie mula merajuk dan tidak mahu belajar di sana sejak kematian datuknya pada 21 Ogos lepas.

"Arwah dengan atuk serta neneknya yang dipanggil sebagai mak itu, memang rapat," katanya.

Muhammad Fahmie selamat dikebumikan di Makam Haji Said di sini, kira-kira 9 malam semalam dan talkin kemudian dibacakan oleh Imam Masjid Kariah Paroi Jaya, Raza Mohd Zain.

Allahyarham Muhammad Fahmie adalah antara 23 yang terkorban dalam kebakaran di pusat tahfiz di Datuk Keramat, Kuala Lumpur itu pagi kelmarin.

Sebelum itu, kesemua jenazah dibawa keluar dari Institut Perubatan Forensik Negara HKL kira-kira 6 petang dan dibawa ke Surau Kuarters HKL untuk dimandikan menggunakan teknik tayammum, dikafankan dan disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan yang ditetapkan oleh waris masing-masing untuk disemadikan. - Bernama


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com