Apakah Umat Islam Sedang Mengalami Perang Mahzab?


SUKAR untuk dinyatakan: Apakah kita harus menerima hakikat bahawa krisis yang membunuh lebih 10 ribu nyawa di Yaman berpunca daripada Perang Mahzab dalam Islam?

Sejak perang meletus pada Januari 2015 berikutan krisis rampasan kuasa puak Houti di Sanaa yang menyebabkan Presiden Mansor Abdul Rabah melarikan diri dan berlindung di Arab Saudi, media massa menyebut krisis Yaman sebagai perang saudara.

Namun, campurtangan Arab Saudi bersama sekutunya yang disokong Amerika Syarikat, serta tindakan Iran membekalkan sokongan senjata kepada pejuang Houti, pada hakikatnya menjadikan bumi Yaman sebagai medan pertempuran antara mahzab.

Cuma ia hampir tiga penjuru. Majoriti Yaman bermahzab Sunni, pemberontak Houti bermahzab Syiah, manakala Arab Saudi bermahzab Wahabi. Krisis ini satu realiti yang mengecamukkan Islam sebagai agama yang yang berbunuh-bunuhan kerana masalah mahzab.

Isu pembunuhan antara mahzab mula dikaitkan dalam perang Syria bermula Oktober 2012.

Ketika rakyat bangkit meneruskan Arab Spring di Damsyik, dan kemudian bertukar menjadi perang saudara, aliran perang yang bermula dengan usaha menjatuhkan Presiden Bashar Assad berubah menjadi pertempuran mahzab.

Majoriti rakyat Syria bermahzab Sunni, tetapi Bashar bermahzab Syiah. Bashar menerima sokongan Iran bagi menangani campur tangan AS yang menyokong pejuang Sunni. Manakala, pada satu peringkat, Daesh dikaitkan sebagai gerakan Salafi yang mendokong fahaman Wahabi.

Selepas lima tahun, lebih 500 ribu nyawa terkorban di Syria. Manakala lebih lima juta rakyatnya menjadi pelarian. Satu angka kemusnahan nyawa dan krisis kemanusiaan yang teruk bagi negara yang berpenduduk 24 juta orang.

Arab Spring bermula di Tunisia dan Algeria berakhir dalam tempoh singkat. Manakala, di Mesir mencetuskan keadaan tidak stabil hinggalah kerajaan demokrasi kembali berubah dan menjadi kerajaan tentera pimpinan Jeneral Mohamad Al Sisi.

Di Libya, walaupun Muaamar Gadaffi dijatuhkan, malah dibunuh, namun perang saudara berterusan hingga sekarang.

Namun di Asia Barat, terutama di Syria dan kini di Yaman, bumi yang mempunyai sejarah kenabian mencetuskan susuk krisis yang berbeza. Ia bukan lagi perang menentang diktator.

Kedua-dua negara itu, kini bertukar menjadi padang penyembelihan sesama Islam. Malah, dibangga-banggakan sebagai perang mahzab.

Selain angka kematian akibat dibunuh secara langsung melalui peperangan, perang mahzab turut mendedahkan sejuta nyawa rakyat Yaman dalam krisis pembunuhan diam akibat wabak taun.

Menurut Palang Merah Antarabangsa, setakat ini 670 ribu sudah disahkan dijangkiti wabak taun. Angka mangsa dijangka meningkat pada 850 ribu orang. Malah, mungkin sejuta orang menjelang akhir tahun ini.

Perang Yaman, sebuah negara mundur, telah mencetuskan krisis bekalan air bersih di bandar Sanaa. Pengeboman tanpa henti oleh Tentera Pakatan diketuai Arab Saudi memusnah sistem kehidupan di bandar itu.

Manakala penduduk yang dijangkiti wabak taun tidak menerima akses perubatan.

Selain lebih 10 ribu nyawa terkorban dalam perang, hingga kini 2065 mangsa disahkan maut akibat taun.

Kalau krisis ini bukan lagi perang saudara, mahukah umat Islam menerima hakikat: Semua ini akibat perang mahzab?

Sumber: Mynewshub

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com