Anwar Tahu Kerugian Forex Sekitar 1992 Tapi Ia Tidak Dipandang Serius


BEKAS Menteri Kewangan, Datuk  Seri Anwar Ibrahim mengetahui mengenai kerugian mata wang asing negara yang berlaku sekitar tahun 1992.

Anwar dalam keterangan di hadapan suruhanjaya siasatan memberitahu, beliau mengetahui mengenai perkara itu selepas dimaklumkan oleh bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Jaffar Hussein.

Anwar berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Jaffar beberapa bulan sebelum Laporan Kewangan dibentangkan pada Mac 1993.

"Semua laporan tahunan BNM memang dibentangkan, namun ia tidak dipandang serius kerana semua tahu mengenai Plaza Accord.

"Persepsi umum pada ketika itu menyalahkan pada keadaan antarabangsa dan Soros," katanya ketika memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an di Istana Kehakiman, Putrajaya semalam.

Sementara itu Bernama melaporkan,Anwar yang kini menjalani hukuman penjara diiringi anggota Jabata Penjara ketika memasuki Istana Kehakiman pada kira-kira 8.40 pagi.

Kenderaan yang membawa Anwar diiringi kenderaan pasukan Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Penjara menggunakan laluan khas untuk ke perkarangan mahkamah menyebabkan wakil media menghadapi kesukaran untuk merakamkan kehadirannya.

Anwar merupakan Menteri Kewangan dari 1991 hingga 1998. Beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1993 sebelum dipecat pada tahun 1998.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, anaknya Nurul Izzah Anwar serta anggota keluarganya, peguam beliau R. Sivarasa dan Datuk Dr Gurdial Singh Nijar juga berada di Istana Kehakiman.

Prosiding yang memasuki hari keenam telah memanggil 17 saksi sehingga semalam.

Selain Anwar, saksi lain yang dijadual memberi keterangan hari ini termasuk bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Ahmad Mohd Don dan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil.

Suruhanjaya Siasatan kes kerugian urus niaga mata wang asing itu ditubuhkan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119] yang penubuhan dan keanggotaannya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Suruhanjaya enam anggota itu dipengerusikan Pengerusi Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan ahli panelnya dianggotai Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Seri Tajuddin Atan.

Anggota panel lain ialah Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon, Ahli Institut Akauntan Malaysia K. Pushpanathan dan Pengarah Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail yang juga setiausaha suruhanjaya siasatan itu. - kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com