Anwar Beritahu BNM Rugi RM5.7 Bilion Pada 1993, Pengerusi RCI Jelaskan RM15.391 Bilion


DATUK Seri Anwar Ibrahim berkata, kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang asing hanya berjumlah RM5.7 bilion.

Jelasnya, ia ada dalam laporan tahunan Kementerian Kewangan pada tahun 1993 yang dikeluarkan.

Malah jumlah itu turut dibentangkan beliau di Parlimen, kata bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu pada prosiding siasatan kerugian akibat tukaran asing BNM oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja  (RCI) semalam

“Laporan itu sudah keluar dan kerugiannya adalah RM9.3 bilion dan kami tidak dapat menjelaskannya. Kita perlu menerangkannya,” katanya ketika menjawab pegawai pengendali RCI, Julai Ibrahim.

Julia sebelum ini menunjukkan kepada Anwar surat daripada Timbalan Gabenor Tan Sri Lin See Yan, bertarikh 1 April 1993, yang mengesahkan kerugian BNM.

Dalam surat berkenaan menunjukkan kerugian forex itu tidak boleh didedahkan kepada orang ramai.

Ketika itulah Pengerusi RCI, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dilihat membetulkan kenyataan Anwar dengan berkata jumlah kerugian BNM dalam urus niaga itu adalah berjumlah RM15. 391 bilion pada tahun 1993.

“Kami ahli panel RCI sudah baca laporan 1992, tidak ada kerugian dalam BNM.

“Malah dicatatkan kerugian berjumlah RM15.391 bilion pada 1994, itu yang kena terangkan,” tanya Sidek.

Anwar dan Sidek dilihat bertegang leher semasa membuat kenyataan mengenai jumlah sebenar kerugian BNM.

Sidek bertanya mengapa Anwar selaku Menteri Kewangan ketika itu mengapa tidak mendedahkan kepada barisan Kabinet mengenai jumlah kerugian sebenar BNM.

Menjawab pertanyaan itu, Anwar berkata; “Saya telah jelaskan bahawa itu (kerugian RM15.391 bilion) adalah rundingan kepada Ketua Audit Negara (ketika itu).

“Kita bawa kepada kabinet keputusannya. Kita sebut apa yang yang telah disebut Bank Negara,” jawab Ketua Umum PKR itu.

Anwar sebagai saksi ke 21, dilihat mengambil masa untuk meneliti dokumen serta surat-surat beliau semasa menjadi Menteri Kewangan kepada BNM.

“Saya mohon seminit untuk meneliti surat berkenaan,” katanya seperti mana yang dilaporkan oleh MalaysiaGazette.

Proses prosiding hari ini juga tidak membekalkan kenyataan beliau kerana kekangan masa.

Anwar ialah Menteri Kewangan dari 1991 hingga 1998 ketika BNM mengalami kerugian tersebut.

Sementara itu, Bernama melaporkan bekas Gabenor BNM, Tan Sri Ahmad Mohd Don memberitahu RCI bahawa ahli lembaga pengarah bank berkenaan mempunyai pengetahuan mengenai kerugian RM10.6 billion yang dialami bank pusat itu pada 1994.

Ahmad,70, yang dilantik sebagai Gabenor pada Mei 1994, berkata ahli lembaga pengarah mengetahui perkara itu dalam mesyuarat Lembaga Pengarah BNM yang dipengerusikannya pada 15 Feb 1995.

"Dalam mesyuarat berhubung Akaun Tahunan 1994 BNM, ahli lembaga pengarah sedia maklum bahawa mengikut polisi semasa yang digunakan oleh bank berkenaan iaitu 'mark-to market', jumlah keseluruhan kerugian yang dialami adalah RM10.6 bilion yang mana jumlah itu termasuk kerugian RM2.7 billion dialami akibat daripada aktiviti urus niaga forex," katanya.

Ahmad, yang sebelum ini merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, berkata demikian ketika membacakan kenyataan saksi pada hari keenam prosiding RCI bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing pada 1990an.

Saksi ke-20 itu berkata beliau juga ada menyediakan surat daripada BNM bertarikh 8 Ogos 1994 bertajuk 'A Report On Bank Negara Malaysia' kepada  Anwar yang menjawat Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan ketika itu. - kedahnews.com




No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com