Anina Saadudin, Pengasas PPBM Keluar Parti


BANGI: Seorang daripada pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin, mengumumkan keluar parti, berkuat kuasa hari ini.

Katanya, keputusan keluar parti dibuat kerana PPBM didakwa tidak lagi menepati prinsip perjuangan ketika diasaskan tahun lalu, sebaliknya berasa diperalatkan untuk kepentingan politik individu tertentu dan berlandaskan dasar kronisme.

Beliau mendakwa ia termasuk cara `kejam' beliau dipecat daripada jawatan Ketua Srikandi, kemudian digugurkan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, selain tidak mendapat jemputan rasmi ke sambutan ulang tahun pertama parti di Muar pada 9 September lalu.

"Walaupun asalnya parti ini ditubuhkan untuk membela kepentingan rakyat, ia kini tidak lagi mendukung prinsip keadilan, ketelusan dan integriti dalam pentadbiran dan perjuangan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Minggu lalu, Anina mendakwa tidak menerima undangan menghadiri sambutan ulang tahun pertama PPBM, namun Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua individu boleh menghadiri majlis itu.

Pada 19 April lalu, bekas Setiausaha Kerja PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman, mengumumkan keluar parti bersama 821 ahli parti serpihan itu di seluruh negara.

Ini diikuti pada 25 Ogos lalu apabila 250 ahli parti berkenaan keluar parti di Dungun kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap hala tuju serta perjuangannya.

Anina berkata, keputusan parti perlu mengambil kira suara ahli dan bukan secara unilateral iaitu pemimpin atasan semata-mata.

Beliau mendakwa, tiada individu patut menentukan perjalanan parti dan memberi imuniti kepada mana-mana pemimpin untuk terus menekan, mencantas dan menikam belakang sesiapa saja dalam parti.

Dengan alasan perjuangannya adalah membela rakyat dan bukan individu, Anina berkata, walaupun sudah membuat keputusan meninggalkan parti itu, namun beliau akan terus bercakap benar walaupun tidak disukai orang lain.

"Pesanan Tun (Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad) kepada saya supaya terus bercakap benar walaupun tidak disukai orang lain akan terus saya pegang.

"Walaupun hari ini kata-kata saya tidak disukai oleh Tun sendiri, saya akan terus bersuara untuk kepentingan rakyat, dan bukan untuk kepentingan mana-mana individu," katanya.

Sumber: Berita Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com