''Angin Terbangkan Bumbung" - Mangsa Ribut Di Jalan Langgar


ALOR SETAR - “Saya tengok sendiri angin terbangkan bumbung...jatuh ke mana tak tahu masa itu. Kejadian itu sangat menakutkan dan saya tak tahu nak buat apa kerana hujan terlalu lebat dan masuk ke ruang tamu,” kata warga emas, Zaleha Ahmad, 60, mangsa ribut di Kampung Burhan, Jalan Langgar, di sini, kelmarin.

Menurutnya, ketika ribut melanda hampir sejam bermula jam 4.30 petang, dia berada di rumah bersama ibu dan anaknya.

“Alhamdulillah, kejadian ini tidak menyebabkan kecederaan terhadap kami. Saya kini berharap ada pihak sudi membantu saya membaiki kerosakan bumbung dapur ini.

“Sejak malam tadi (kelmarin) kami tidak tidur nyenyak kerana bimbang disebabkan ruang atas terlopong,” katanya ditemui di rumahnya, semalam.

Tinjauan mendapati keseluruhan atap zink dapurnya diterbangkan angin dan jatuh di belakang rumah.

Selain rumah Zaleha, sembilan rumah penduduk lain di kampung itu turut rosak dibadai ribut yang melanda Kedah, khasnya di Kota Setar, kelmarin.

Seorang lagi penduduk, Siti Jamilah Ismail, 60, berkata, dia bersyukur kerana suaminya, Ramli Mustapa, 65, terselamat dalam kejadian ribut buat pertama kali di kampung itu.

“Saya ketika itu berada di Taman Mulia dan diberitahu oleh suami ribut berlaku selepas waktu Asar.

“Dia (suami) terkejut apabila mendengar bunyi kuat dari luar rumah sebelum melihat bumbung sengkuap diterbangkan ribut.

“Mulanya suami kata angin kencang dari arah kiri sebelum melanda dari hadapan,” katanya sambil memberitahu atap asbestos di bahagian bilik turut rosak menyebabkan banyak barangan rosak ditimpa air hujan.

Jirannya, Normadiah Zainol, 47, berkata, kejadian ribut itu sangat menakutkan apabila turut mengangkat bumbung dewan orang ramai bersebelahan rumah Siti Jamilah.

Dalam perkembangan sama, Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Setar dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melaporkan 44 rumah dan tiga kenderaan rosak dalam kejadian ribut yang melanda daerah itu.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com