Angin Kuat Di Alor Setar Hingga Goncang Rumah


ALOR SETAR - Kejadian ribut yang berlaku pada Jumaat lalu di beberapa kawasan di Alor Setar turut mengakibatkan Kampung Padang di Mukim Hutan Kampung turut merasainya.

Seorang ibu tunggal, Norhayati Teh Deris, 59, mendakwa ketika kejadian berlaku dia bersama anaknya, Mohd Najib Abd Ghani, 39, berada di dalam bilik.

Keadaan ribut dan kilat yang kilat itu mengakibatkan beberapa atap zink rumahnya diterbangkan ribut dan angin kuat turut mengakibatkan rumahnya bergoncang.

"Masa tu kami memang takut sebab angin sangat kuat sampai menggoncang rumah, tapi tak lama kemudian dengar bunyi bising dan dentuman kuat.

"Bila keluar dari bilik, saya nampak kayu dan zink di ruang tengah rumah diterbangkan angin menyebabkan ruang tamu dipenuhi air hujan. Saya hanya mampu beristighfar sebab sangat takut,” katanya.

Tambahnya, keadaan menjadi bertambah menakutkan dan kecoh apabila beberapa pokok di luar rumah turut tumbang dan hampir menimpa  rumahnya.

“Masa itu saya hanya mampu berdoa pada ALLAH. Awalnya saya cuba juga berlari keluar untuk minta tolong anak yang tinggal berdekatan, tapi takut sebab kilat yang kuat.

"Selepas hujan reda, barulah saya dan anak yang kurang sihat keluar dari bilik serta mengemas rumah dipenuhi air hujan. Paling mengejutkan bila atap zink diterbangkan 150 meter, nasib baiklah tidak mencederakan sesiapa," katanya.

Jelasnya, ini kejadian yang paling teruk pernah berlaku sejak 3o tahun menetap di situ.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Hutan Kampung, Ramli Mei berkata, kejadian ribut itu menyebabkan sebanyak tujuh rumah mengalami kerosakan.

Selain itu, kejadian tersebut turut mendapat perhatian Umno Bahagian Pokok Sena yang turun padang hulurkan sumbangan makanan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang datang untuk menilai kerosakan rumah mangsa. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com