'Anak Kami Ketagih Bendera'


HARI kemerdekaan menjadi salah satu perayaan yang tercatat kemas dalam diari kehidupan Nasry Hasliza Ibrahim, 43, sekeluarga dan wajib diraikan setiap tahun.

Seawal tujuh hari sebelum tarikh keramat 31 Ogos menjelang, Hasliza bersama suami, Hashim Aziz, 45, dan anaknya, Qaid Hashim, 11, sudah mula melakukan persiapan.

“Kami hias keliling rumah dengan bendera pelbagai saiz, biasanya seminggu sebelum hari merdeka. Ia menjadi aktiviti wajib kami sekeluarga setiap tahun.

“Hampir setengah hari masa diperuntukkan untuk gantung dan hias bendera di pelbagai sudut. Sudah tentu rumah kami jadi perhatian jiran tetangga kerana ‘sesak’ dan meriah dengan bendera pelbagai saiz,” katanya.

Qaid suka kaji bendera Malaysia, luar negara

Bercerita tentang semangat yang ditunjukkan, Hasliza memaklumkan antara faktor yang mempengaruhi ialah anaknya yang terlalu obses terhadap bendera.

“Anak kami tahap ketagih bendera! Dia akan kumpul, susun dan pastikan bendera tidak hilang, malah dia ingat setiap bendera dalam koleksinya! Dia sangat gembira lihat rumah dihias begini.

“Anak saya sangat suka mengkaji, menghafal negara dan ibu negara di seluruh dunia. Minat mendalam ni mendorong jiwanya terisi dengan semangat cintakan negara dan diterjemah dengan cara ini (menghias bendera),” katanya.

Menurutnya, dia tidak kisah memperuntukkan sejumlah wang bagi mendapatkan bendera dari dalam dan luar negara termasuk yang dikirim dari teman-teman.

“Kami ada koleksi bendera dari pelbagai negara tapi paling banyak tentulah bendera Malaysia dengan pelbagai saiz dan bentuk. Menjadi kebiasaan kami untuk memesan bendera setiap kali rakan-rakan ke luar negara.

“Kos bendera Malaysia yang dikumpul dan dibeli dianggar bernilai RM200, termasuk diberi oleh rakan-rakan sebagai cenderahati,” katanya.

Jalur Gemilang simbol kemegahan negara

Ditanya tentang semangat kibarkan jalur gemilang yang semakin pudar di kalangan masyarakat, Hasliza menegaskan peranan ibu bapa dan pendidik sangat besar dalam mencorakkan jiwa anak muda.

“Kami sentiasa bercerita, bagi contoh negara luar seperti Palestin yang sehingga kini hidup dalam kesengsaraan dan mengharapkan kebebasan dari cengkaman Israel. Cara paling mudah dan berkesan tunjukkan sokongan setiap kali menyambut kemerdekaan.

“Jalur Gemilang bukan hanya sehelai bendera yang dikibar pada 31 Ogos setiap tahun tapi ia adalah simbol kedaulatan dan kemegahan. Setiap kali ia dikibarkan, rohnya meresap dalam jiwa dan hati tanda rasa cinta mendalam terhadap negara,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com