Alunan Ayat Suci Al-Quran Bergema Di UIAM


KUALA LUMPUR - Alunan ayat-ayat suci al-Quran oleh kira-kira 3,000 umat Islam bergema di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sempena program World #QuranHour.

Peserta program kali kedua yang bertemakan Dunia Berbudi dan Penyayang itu mula berkumpul di masjid berkenaan kira-kira 9 pagi.

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan merangkap Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, program itu memperlihatkan cantuman jiwa umat Islam di seluruh dunia dalam memartabatkan al-Quran.

“Berkumpul kita di UIAM menandakan corak kemasyarakatan Islam. Acara ini tidak dapat dibandingkan dengan kegiatan lain. Marilah kita bersama-sama terus mendalami al-Quran supaya kita dapat faham matlamat utamanya," katanya ketika berucap merasmikan program itu, semalam.

Rais kemudian membacakan surah al-Fatihah bagi memulakan program World #QuranHour disusuli bacaan surah al-Baqarah oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha.

Acara kemuncak di lokasi perdana itu ialah solidariti interaksi surah Yasin yang dipimpin bacaan oleh 21 "Yasin Flag Bearers" atau pembawa panji-panji Yasin daripada latar belakang berbeza seperti artis, golongan kurang upaya dan ahli akademik.

Program di bawah naungan Jakim itu dianjurkan UIAM dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) dengan kerjasama Majlis Dakwah Negara serta Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas).

World #QuranHour kali ini menyaksikan semua media utama bergabung tenaga bersinergi antaranya  Bernama, Kumpulan Media Prima, Radio Televisyen Malaysia, Kumpulan Utusan dan Media Karangkraf untuk membantu menyampaikan masej program berkenaan sekali gus menjayakannya.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamarudin. - Bernama


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com