Almarhum Sultan Kedah Selamat Disemadikan, Ribuan Rakyat Beri Penghormatan Terakhir



ALOR SETAR - Jenazah Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah selamat disemadikan dengan penuh penghormatan diraja bersebelahan makam Sultanah Kedah, Ahmarhum Tuanku Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman di Makam Diraja Langgar, dekat sini  jam 4.15 petang Selasa.

Mufti Kedah.Syeikh Fadzil Awang dan Imam Besar Masjid Zahir, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim mengetuai bacaan talkin sementara Kadi Daerah Kota Setar, Syeikh Alauddin Abu Bakar memimpin bacaan tahlil dan doa.

Almarhum Sultan Abdul Halim, 89, mangkat di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada pukul 2.30 petang semalam selepas memerintah Kedah selama 59 tahun.

Terdahulu jenazah Almarhum Tuanku Sultan disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit dari pukul 11 hingga 1.30 tengah hari bagi membolehkan para pembesar negara yang diketuai Yang Dipertua Agong, Raja-Raja Melayu dan kerabat di raja,  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi  yang mewakili kerajaan Persekutuan, para menteri dan kenamaan lain  serta  rakyat jelata memberi penghormatan terakhir.


Sebelum itu pada pukul 10.30 pagi, Mufti Kedah mengimamkan solat jenazah di Dewan Penghadapan yang disertai oleh puluhan ribuan makmum.

Pada pukul 2.30 petang, pedati khas yang membawa jenazah Almarhum keluar meninggalkan Istana Anak  melalui kawalan kehormat diraja membabitkan tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD). 

Ribuan rakyat pelbagai peringkat menanti di sepanjang  Lebuhraya Darulaman,  Jalan Tun Razak dan Jalan Langgar  untuk sama-masa memberi pernghormatan sebelum jenazah baginda tiba di Makam Diraja Langgar pada pukul 4 petang.




Sebaik istiadat pemakaman selesai Sultanah TuankuHajah Haminah Hamidun dan Raja Muda Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah yang dimasyhurkan Sultan Kedah yang baharu bersama Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim mendahului penyiraman air mawar. 

Berangkat sama ke istiadat pemakaman ialah  Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Laksamana, Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dan Datuk SeriTunku Soraya Tuanku Abdul Halim serta kerabat diraja Kedah.



Menteri Besar  Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah  bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid serta barisan Exco kerajaan negeri,  serta pegawai-pegawai kanan negeri menyaksikan istiadat pemakaman.

Sebanyak 89 das tembakan dilepaskan oleh pasukan artileri sepanjang  perjalanan terakhir almarhum baginda sehingga jenazah tiba di makam di raja.

 Almarhum Tuanku Abdul Halim merupakan  sultan paling senior di kalangan sultan dan raja Melayu dan pernah dua kali dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.-Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com