Ahmad Bashah, Ku Rahman Amat Rasai Pemergian Almarhum Tuanku Abdul Halim


ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri  Ahmad  Bashah Md Hanipah yang baharu pulang dari menunaikan haji petang ini menyifatkan kemangkatan Almarhum Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah sebagai satu kehilangan yang cukup dirasai oleh seluruh rakyat terutama di negeri Kedah.

" Baginda adalah seorang raja berjiwa rakyat dan dikasahi seluruh rakyat dengan sifat baginda yang mudah mesra dan didekati, " kata Ahmad Bashah yang terlalu sedih dengan pemergian Sultan Kedah petang ini.

Menurut Ahmad Bashah satu sifat mulai  tuanku yang tidak boleh dilupakan ialah ketepatan masa baginda datang ke pejabat dan majlis-majlis rasmi.

Baginda juga tidak mencampuri urusan pentadbiran kerajaan dan politik sebaliknya mengambil berat terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat, kata Ahmad Bashah.

"Banyak kenangan saya bersama dengan Almarhum sama ada bersama baginda di dalam dan luar negara kerana saya telah berkhidmat di negeri sejak menjadi wakil rakyat pada 1995, " katanya lagi ketika ditemui di Wisma Darulaman petang tadi.


Katanya, pemergian baginda tidak disangka kerana saya dimaklumkan tentang kemangkatan Sultan sebaik pesawat  mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar pukul sekitar pukul  2.30  petang.

"Kali terakhir saya mengadap Tuanku Abdul Halim ialah tiga hari sebelum saya berangkat ke Mekah dan baginda kelihatan riang, " katanya.

Baginda juga merupakan penyokong nombor satu skuad Helang Merah sejak dahulu hingga akhir hayat baginda.

Turut berkongsi kesedihan ialah Exco kanan Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Guar Chempedak itu berkata baginda tidak pernah tunjuk diri baginda tidak sihat kepada rakyat semasa kembali ke Istana Anak Bukit selepas tamat perkhidmatan Yang di- Pertuan Agong buat kali kedua Disember tahun lalu.

" Semangat baginda cukup tinggi walaupun dalam keuzuran, " ujar Ku Rahman.

Kata Ku Rahman lagi, semasa bersama baginda bercuti di Chiengmai  April lepas baginda ternyata masih sihat dan berminat dengan kraftangan yang dihasilkan daripada kayu.

"Ketepatan masa berangkat ke majlis wajar menjadi contoh betapa baginda amat menghargai masa selain sifat Almarhum yang profesional, " kata Ku Rahman yang turut menyimpan kenangan manis bersama Alhmarhum Sultan Kedah. -Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com