6 Anggota Polis Bahagian Jenayah Narkotik Dicekup SPRM


GEORGETOWN - Enam anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Timur Laut, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas masing-masing disyaki terbabit dalam kes rasuah.

Anggota berpangkat Lans Koperal hingga Sarjan dan berusia antara 28 hingga 49 tahun itu, ditahan kira-kira jam 2 petang semalam.

Mereka ditahan selepas masing-masing disyaki meminta rasuah RM4,500 daripada dua suspek untuk menyelesaikan satu kes dadah.

Selain enam anggota terbabit, SPRM turut menahan seorang lagi lelaki berusia 28 tahun yang disyaki memainkan peranan sebagai orang tengah dalam urusan berkaitan rasuah itu.

Sumber SPRM, berkata semua anggota polis terbabit sebelum ini melakukan serbuan di sebuah rumah di Majestic Height di Paya Terubong, di sini, di mana dua lelaki ditahan kerana memiliki empat bungkusan plastik yang mengandungi cecair disyaki air ketum.

Mereka bagaimanapun bersetuju menerima suapan RM4,500 untuk menyelesaikan kes itu, dengan rakan kepada suspek kes dadah itu bertindak selaku orang tengah.

Semua enam anggota bersama individu yang berperanan sebagai orang tengah itu kini ditahan untuk siasatan lanjut di pejabat SPRM Pulau Pinang.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas enam anggota berkenaan oleh SPRM.

"Kita serahkan kepada SPRM untuk jalankan siasatan dan sementara itu, semua anggota terbabit dilucutkan jawatan sebagai detektif dan ditukarkan ke cawangan lain," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com