5 Tahun Jadi Hamba Seks, Sonika Kini Bebas


Setiap pagi, Sonika akan menyediakan hidangan makan tengah hari untuk dibawa ke tempat kerja. Selepas itu dia akan bersiap, bersarapan, merakam gambarnya sendiri dan bergegas meninggalkan rumah untuk menaiki bas pada jam 8.45 pagi ke tempat kerja.

Rutin paginya itu agak berbeza daripada wanita muda lain tetapi Sonika, 19, sangat menghargai kehidupan atau rutin yang normal.

Pengalaman hitam yang dilaluinya menjadikan dia sangat mendambakan kehidupan yang ‘biasa-biasa’.

Inilah yang cuba diraihnya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini sebaik terlepas daripada belenggu sosial sebagai pekerja seks - yang menyebabkan hidupnya derita apabila sering didera fizikal dan seksual selama hampir lima tahun.

“Saya benci kehidupan dulu, tetapi saya tiada pilihan. Saya dipaksa bekerja selama 18 jam atau lebih setiap hari. Ketika itu saya benar-benar mahu mati,” kata Sonika yang ditipu dan diseludup menjadi hamba seks sejak berusia 13 tahun.


Bermula awal tahun ini, Sonika tinggal bersama seorang rakan di rumah yang serba sederhana. Dia amat bersyukur apabila mendapat perhatian Kshamata iaitu satu badan kebajikan yang ditubuhkan pada 2013, khusus membantu mangsa penyeludupan untuk berdikari.

“Di sini saya rasa selamat. Setiap hari saya ada jadual sendiri. Saya suka dengan apa yang saya lakukan kini,” kata Sonika kepada wakil Thomson Reuters Foundation ketika ditemui di pangsapuri kecilnya.

Sonika yang meminta nama penuhnya dirahsiakan antara 50 mangsa penyeludupan manusia di Mumbai yang terselamat dan mendapat bantuan daripada Kshamata untuk mencari pekerjaan dan hidup berdikari.

Menurut aktivis, dianggarkan ada 20 juta pekerja seks komersial di India, 16 juta wanita dan remaja perempuan adalah mangsa penyeludupan seks. Hampir separuh daripadanya adalah remaja dan kanak-kanak semuda usia sembilan tahun.

Kajian menunjukkan kebanyakan remaja perempuan yang diselamatkan itu diseludup semula kerana mereka tidak dapat mencari sumber pendapatan atau pilihan lain apabila kembali ke kampung halaman.

Mangsa yang tinggal di asrama kendalian kerajaan atau badan kebajikan diberikan latihan vokasional dan dicarikan pekerjaan. Ramai yang memilih untuk terus tinggal di asrama berkenaan yang menjadi rumah baru mereka.

“Mereka tidak bersedia untuk keluar dan ramai masih belum boleh berdikari,” kata Bharathy Tahilini, pengasas Kshamata yang bermakna ‘mampu’ dalam bahasa Hindi.

“Apabila Sonika berani hidup sendiri, berdikari dan mempercayai rakan serumah serta rakan sekerjanya, ia satu kejayaan buat kami - dan dirinya juga,” kata Bharathy.

ANYAM BAKUL

Data terbaru menunjukkan peningkatan kes penyeludupan manusia di India. Kerajaan menyediakan skim pampasan wang tunai untuk mangsa jenayah seksual remaja, tetapi mangsa dewasa tidak mendapat sebarang sokongan.

Walaupun pelacuran diharamkan di India, ramai wanita dan kanak-kanak perempuan ‘diselamatkan’ setiap kali polis membuat serbuan di rumah pelacuran.

“Kami jalankan kajian ke atas kanak-kanak perempuan yang diselamatkan pada 2007 dan mendapati kurang daripada 10 peratus kembali kepada masyarakat. Kami tidak dapat mengesan sebahagian besar mangsa yang diselamatkan,” kata Bharathy.

Kshamata antara penyelesaian untuk mengelakkan mangsa daripada dipergunakan lagi. Selain menyediakan program tradisional seperti menyulam dan menganyam bakul, kini sesetengah badan kebajikan beralih kepada kaunseling pekerjaan dan kemahiran bercakap di depan khalayak, kata jurulatih modul pendidikan Kshamata, Pratishta Kale.

“Kebanyakan mangsa masih muda dan sering keliru mengenai pilihan kerjaya mereka. Jadi kami pandu dan bantu mereka mencari pekerjaan mengikut minat masing-masing,” sambungnya.

Badan lain seperti Save the Children India juga mengadakan model pemulihan yang sama. Menurut pengarah programnya, Jyoti Nale, dalam beberapa tahun kebelakangan ini ramai mangsa yang memilih untuk hidup berdikari dan tidak lagi tinggal di pusat perlindungan atau asrama walaupun caj yang dikenakan lebih murah.

“Kini dengan tahap pendidikan yang lebih baik membantu mereka mencari pekerjaan. Ini kaedah yang lebih baik untuk menolong mangsa terus berdikari,” katanya.

HIDUP IMPIAN

Sonika yang kini menyambung pelajarannya berdepan kesukaran dalam pekerjaan pertamanya di kedai barang kemas apabila dikehendaki berbahasa Inggeris dengan pelanggannya. Seorang sukarelawan kemudiannya mencarikan pekerjaan lain di syarikat pakaian di mana dia perlu menghantar pakaian ke kedai, mengutip wang dan mencatat setiap transaksi dalam buku notanya.

Dia dibayar gaji 9,000 rupee (RM598) sebulan. Daripada jumlah itu, 2,000 rupee digunakan untuk membayar sewa rumah yang dikongsi bersama mangsa jenayah seksual juga yang bekerja di pasar raya dengan gaji 12,000 rupee.

Tidak jauh dari situ, seorang lagi mangsa, Navya, juga tinggal di pangsapuri satu bilik yang terpaksa menaiki kereta api Mumbai selama empat jam sehari untuk ke tempat kerja.

Namun seperti kebanyakan penduduk Mumbai, tempoh lama berada di dalam kereta api yang sentiasa padat bukanlah masalah besar. Masalah lebih utama adalah kurangnya keyakinan diri dan keengganan pemilik menyewakan rumah mereka kepada wanita bujang.

“Hanya selepas memberitahu petugas Kshamata bahawa saya mahu berdikari, barulah saya sedar saya juga boleh ada impian hidup,” kata Sonika yang ‘meminjam’ suami kawannya ketika dia mahu mencari rumah sewa bagi meyakinkan pemilik rumah.

“Saya sukakan rumah sekarang. Inilah kehidupan yang saya impikan,” katanya.

Sumber: Mymetro 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com