443,794 Calon Ambil UPSR Tahun Ini


PUTRAJAYA  - Seramai 443,794 calon akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2017 pada 11 hingga hingga 18 Sept ini.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan semalam berkata daripada jumlah itu, seramai 433,536 adalah calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan, manakala 10,258 adalah calon sekolah swasta.

Sebanyak 8,085 pusat peperiksaan dibuka di seluruh negara, melibatkan seramai 51,363 petugas peperiksaan.

Menurut kementerian itu, Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon agar merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

Jadual waktu tersebut boleh dimuat turun dari laman web Lembaga Peperiksaan di alamat lp.oe.gov.my. Calon juga diingatkan membawa MyKad masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar, kata Kementerian Pendidikan.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com