30,000 Veteran UMNO Sedia Bantu BN Tawan Kelantan



UMNO Kelantan sedia menggerakkan kira-kira 30,000 ahli veterannya membantu Barisan Nasional (BN) bagi mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di negeri ini.

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata langkah itu selaras matlamat untuk memastikan BN berjaya menubuhkan kerajaan di Kelantan selepas PRU berkenaan.

Beliau berkata, veteran UMNO mempunyai kelebihan tertentu bagi menarik sokongan pengundi terutama daripada golongan itu kepada BN.

"Pelbagai program yang bersesuaian dengan usia mereka akan digerakkan di peringkat akar umbi mulai sekarang.

"Ini termasuk program ziarah, bacaan Yasin, majlis tahlil dan solat hajat yang mampu mendekati rakyat seusia mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Merdeka Raya dan pelancaran gerak kerja Veteran UMNO Kelantan di Jeli, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Veteran UMNO negeri, Datuk Mohd Rozali Isohak.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata sokongan semua pihak diperlukan bagi mencapai kemenangan besar BN di Kelantan.

Sumber: BH

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com