21 Maut Bangunan 117 Tahun Runtuh


MUMBAI - Sekurang-kurangnya 12 orang maut manakala 40 lagi hilang dipercayai terperangkap di dalam bangunan enam tingkat berusia 117 tahun yang runtuh awal pagi semalam, susulan dua hari hujan lebat di hab komersial dan kewangan India, Mumbai.

Menurut ketua pegawai bomba, 21 orang disahkan mati sementara 13 lagi cedera dan dibawa ke hospital dengan empat anggota bomba turut cedera dalam usaha menyelamatkan mereka.

“Kami mendengar bunyi yang sangat kuat tetapi tidak dapat melihat apa-apa disebabkan habuk dan asap tebal. Sebaik semuanya reda, baru kami sedar ada bangunan runtuh,” kata penduduk, Amina Sheikh.

Kejadian itu berlaku hanya dua hari selepas hujan lebat yang membanjiri bandar itu menyebabkan 14 orang terbunuh.

Runtuhan itu yang kedua berlaku di Mumbai dalam tempoh kurang sebulan. Pada Julai lalu, 17 orang terbunuh apabila bangunan empat tingkat runtuh selepas menjalani pengubahsuaian yang dipercayai tidak mendapat kelulusan.

Dalam kejadian terbaru, bangunan enam tingkat di kawasan antara yang paling padat dengan penduduk itu, diisytiharkan usang oleh pihak berkuasa pada 2011.

Bagaimanapun ia masih dihuni sejumlah penduduk yang tidak diketahui bilangannya.

Polis masih menyiasat punca runtuhan yang berlaku berhampiran pasar Crawford, kota lama Mumbai yang ramai penghuninya beragama Islam.

Anggota penyelamat dan Pasukan Tindak Balas Bencana Nasional berkata, jalan sempit di kawasan itu menyukarkan mereka membawa masuk jengkaut.-Reuters

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com