10 Beranak Huni Rumah Uzur Di Sungai Petani Perlu Bantuan


SUNGAI PETANI - “Diikutkan, siapa yang sanggup duduk dalam rumah yang uzur begini, atap bocor dan dinding rosak, malah setiap kali hujan terpaksa tadah air, tapi kami reda kerana tidak mampu nak baiki rumah ini,” kata Zauyah Osman, 62, dari Kampung Pulau Sayak, Kota Kuala Muda di sini.

Kisah daif Zauyah sekeluarga 10 beranak yang terpaksa menghuni rumah berkenaan tular di media sosial sejak beberapa hari lalu hingga mendapat pelbagai reaksi masyarakat yang berharap mereka segera dibantu pihak berkenaan.

Menurut Zauyah, rumah berusia lebih 30 tahun itu yang didiaminya bersama suami, Hassan Ariffin, 81, empat anak serta menantu dan tiga cucu yang masih kecil dilanda ribut pada tahun lalu sehingga menyebabkan bumbung dan sebahagian dinding rumah rosak.

Difahamkan, masalah kewangan menyebabkan mereka tidak mampu menampung kos pembaikan keseluruhan rumah bernilai lebih RM5,000 itu.

“Rumah kami mengalami kerosakan selepas kejadian ribut tahun lalu sehingga sebahagian ruangnya tidak dapat digunakan lagi akibat bumbung dan dinding rumah ros,” katanya.

Zauyah berkata, memandangkan pendapatan mereka sekeluarga diperoleh hasil jualan kuih muih sekitar RM25 sehari dan juga menantu yang bekerja sebagai nelayan, mereka hanya membaiki setakat yang mampu saja.

Zauyah berkata, mereka ada memohon kepada pihak tertentu membantu membaiki rumah, namun masih menunggu bantuan berkenaan sehingga ke hari ini.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Zauyah Osman di nombor 0212429000100964 atau menghubunginya di talian 0195184452.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com