Zahid Ditekan Mahathir Ibarat Meletak Pistol Di Kepala


ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup menggunakan apa saja kuasa yang ada pada dirinya untuk memberi tekanan kepada mana-mana musuh politik, termasuk kepada pemimpin yang separti dengannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengimbas detik pahit bagaimana Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ditekan Mahathir dengan menggunakan kuasa sebagai Perdana Menteri suatu ketika dahulu.

Mohd Najib berkata, Ahmad Zahid pernah menjadi mangsa Mahathir meskipun beliau ketika itu mengepalai Pergerakan Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang setaraf Naib Presiden, demi mempertahankan kuasa yang dimilikinya pada sekitar 1998.

"Datuk (Seri) Zahid suatu ketika adalah Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Bertaraf Naib Presiden UMNO, tapi dimasukkan (ke penjara) di bawah ISA. Datuk (Seri) Zahid kata gelap.. semua kata gelap. Datuk (Seri) Zambry (Abdul Kadir) pun kata gelap.

"Dia (Mahathir) hantar orang pegawai SB (Special Branch) jumpa dia (Zahid). Nama pegawai itupun saya tahu siapa dia. Sudah bersara pun orang itu.

"Dua orang pergi jumpa katanya kalau nak keluar daripada ISA lebih awal lagi, dia kata sign surat letak jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

"Cuba bayangkan,(Zahid) dipilih oleh perwakilan UMNO, (Mahathir) masukkan (ke penjara) bawah ISA, paksa letak jawatan. Datuk (Seri) Zahid pun manusia biasa. Segagah-gagah Ketua Pemuda dok fikir anak isteri di rumah, 'lembik' juga lutut...

"Akhirnya dia sign, lepaskan jawatan Ketua Pemuda. Selepas dia (Zahid) lepaskan jawatan, esoknya pegawai itu datang semula. Bayangkanlah... sudah letak jawatan ingatkan sudah habislah cerita. Datang pulak dengan satu lagi surat dia kata minta Datuk (Seri) Zahid sign bahawa dia (Zahid) letak jawatan kerana kerelaan hatinya tanpa paksaan.

"Maknanya apa? Guna kuasa dengan sepenuh-penuhnya. Tekan sampai meletak pistol di kepalalah ibaratnya. Begitu sekali (perlakuan Mahathir). Sebab itu Zahid tak lupa..," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam, hari ini.

Ahmad Zahid sebelum ini pernah dipenjarakan di bawah ISA ekoran ketika itu beliau dikatakan memprotes keras tindakan Mahathir yang memecat Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari semua jawatan kerajaan dan parti.

Mahathir meskipun diakui antara Perdana Menteri yang berjasa di negara ini, namun turut mempunyai rekod-rekod buruk yang menekan rakyat dan politik negara dengan kuasa yang beliau miliki selaku Perdana Menteri.

Selain ISA yang kini dimansuhkan, Mahathir turut digelar sebagai "Maha-Firaun", "Maha Zalim" dan "kuku besi" oleh pemimpin parti pembangkang khususnya DAP dan PKR yang kini menjadi sabahatnya di dalam Pakatan Harapan.

Namun begitu, PAS yang tidak lupa pada sejarah dan politik licik Mahathir telah membuat keputusan untuk tidak menjalin kerjasama dengan PPBM, terutama selepas parti tersebut bersekongkol dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN). -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com