Yakin Wujud Dalang Di Sebalik Amukan Prebet Adam 1987


ALOR SETAR - Tokoh peguam terkenal negara, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendakwa berkemungkinan besar wujudnya konspirasi pihak tertentu yang mengeksploitasi insiden amukan Prebet Adam yang menggemparkan negara pada 1987.

Tanpa menyebut nama mana-mana pihak, beliau yakin bahawa dalang yang menyebarkan dakyah tidak benar susulan insiden amukan tersebut mempunyai motif dan kepentingan tertentu melibatkan kancah yang lebih besar.

Jelas beliau, terdapat beberapa petunjuk jelas yang menyokong kemungkinan tersebut berdasarkan beberapa insiden sekitar 1987 dan 1988 di mana Kerajaan Persekutuan ketika itu dikatakan sedang ligat merancang untuk mengurangkan kuasa dan kekebalan pihak istana.

"Almarhum Sultan Iskandar iaitu Sultan Johor lantang menentang rancangan tersebut," katanya di majlis diskusi buku kisah benar Prebet Adam dan Amok at Chow Kit, yang dipetik dari laporan portal BNBBC, baru-baru ini.


Shafee berkata, beliau yang masih ingat tarikh perbicaraan ketika menjadi peguam bela kepada Prebet Adam atau nama sebenarnya, Adam Jaafar, yang berlangsung di mahkamah pada 4 April 1988.

Diskusi yang berlangsung di Rumah Harapan Budi, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur itu turut membabitkan dua ahli panel iaitu penulis buku berkenaan, Syahril A Kadir dan individu yang bertanggungjawab memujuk Prebet Adam untuk menyerah diri, Jeneral (B) Datuk Abdul Ghani Abdullah.

Mengulas lanjut, Shafiee turut yakin bahawa terdapat beberapa pegawai polis yang terlibat untuk mengaitkan amukan Adam, kononnya sebagai tindak balas membela kematian adiknya yang didakwa mati selepas dipukul oleh Almarhum Sultan Johor.

Sedangkan fakta sebenar menjelaskan bahawa tiada seorang pun adik Adam yang pernah bekerja di padang golf atau dipukul Sultan Johor, malah tiada seorang pun daripada adik beradiknya yang mati dibunuh sesiapa.

Selain itu, fakta dari Adam sendiri juga menyatakan bahawa seorang sahaja adiknya yang terbunuh dalam satu insiden di mana rumah mereka terbakar di Pulau Pinang dan adik perempuannya yang terkorban itu masih kanak-kanak.

Lebih menimbulkan persoalan, difahamkan Adam mendakwa telah ditekan dengan dakwaan kononnya adiknya telah menjadi mangsa bunuh Almarhum Sultan Johor selama berbulan-bulan di dalam tahanan sehingga menyebabkan dirinya amat tertekan dan keliru.

Susulan itu, berniat membersihkan nama baik istana Johor, khususnya Almarhum Sultan Iskandar, Adam dengan rela hati membuat satu akuan bersumpah menegaskan kes amukannya tersebut tiada sebarang perkaitan dengan institusi DiRaja Johor.


Walau bagaimanapun, mereka yang terlibat dengan pembikinan buku berkenaan menjelaskan bahawa bukan mudah untuk mengubah persepsi masyarakat yang terpedaya dengan propaganda yang tersebar selama lebih 30 tahun.

Namun rasa tanggungjawab dan keberanian menegakkan kebenaran telah membuat penulis buku berkenaan, Syahril A Kadir untuk membongkar kisah sebenar dan memperbetulkan persepsi semberono tanpa bukti yang selama ini menjadi "taboo" di kalangan masyarakat.

"Ini adalah fitnah yang berlaku selama 30 tahun," tegas bekas wartawan meja jenayah yang terkenal itu tanpa berniat prejudis terhadap mana-mana pihak.

Untuk mengetahui lanjut kisah sebenar tentang insiden amukan Prebet Adam secara jelas dan berfakta, para pembaca boleh mendapatkan buku "Konfesi Prebet Adam" (Versi Bahasa Melayu) atau "Amok At Chow Kit", boleh menghubungi Dubook Press (klik di sini). -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com