Yakin Wabak Rabies Terkawal Menjelang Akhir Ogos


KUCHING - Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam yakin wabak rabies 90 peratus terkawal menjelang akhir Ogos ini memandangkan tiada lagi sampel yang positif penyakit berkenaan sejak 24 Julai lalu.

Beliau berkata pengawalan populasi anjing liar dan terbiar terpaksa dilakukan walaupun terdapat pelbagai halangan kerana statusnya tidak dapat dipastikan, sama ada ia dijangkiti atau tidak.

“Semua ini terpaksa dilakukan bagi menyelamatkan nyawa manusia,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai veterinar dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia di Bilik Operasi Jabatan Veterinar Sarawak di sini semalam.

Katanya, penubuhan zon penampan adalah komitmen jangka masa panjang kerana ia melibatkan tambahan tenaga kerja dan kos, lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan jarak 300 hingga 400 kilometer.

“Kerjasama dan maklumat dari Kalimantan Barat, Timur dan Utara juga perlu diperoleh untuk tujuan tersebut,” tambah beliau.

Dr Quaza Nizamuddin turut mengucapkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam merancang dan melaksana program vaksinasi, survelan dan pengawalan anjing terbiar bagi mengawal penularan wabak rabies yang setakat ini telah meragut lima nyawa di negeri ini.

“Kebajikan petugas-petugas juga perlu dijaga dengan memberi masa rehat yang cukup dan bertugas secara giliran,” katanya.

Beliau berharap operasi menangani wabak ini dapat memberi pengalaman kepada semua yang terlibat, terutama dalam mendapat laporan harian, mapping, survelan, vaksinasi dan pengawalan haiwan liar.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) mengingatkan kepada semua pihak untuk mengelak haiwan kesayangan sama ada yang telah atau belum divaksin daripada bercampur dengan manusia.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam laporan hariannya pula berkata pada hari ini JPVS hanya mengadakan Program Pemvaksinan di lapan buah kampung di Daerah Bau kerana memberi laluan kepada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Sematan, Lundu.

Kenyataan itu menyebut setakat 3 petang ini, 304 ekor anjing telah divaksin.

Secara kumulatif 30,191 haiwan kesayangan yang terdiri daripada 22,549 ekor anjing; 7,597 ekor kucing dan 45 haiwan lain telah divaksin, katanya.

Sebanyak 33,827 survelan aktif dan 733 survelan pasif untuk mengawal penularan wabak rabies telah dilakukan oleh JPVS di kawasan Serian, Kuching dan Sri Aman, tambahnya.

Katanya, sejumlah 175 sampel yang terdiri daripada 157 sampel anjing, 17 sampel kucing dan satu sampel kelawar yang diperoleh dari Bahagian Kuching, Sri Aman, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu dan Miri telah dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Ipoh untuk ujian virus rabies.

Laporan itu juga menyebut bilangan sampel positif virus rabies melalui ujian Direct Fluorescent Antibody Test (FAT) masih kekal 33 sampel anjing dan 6 sampel kucing daripada 157 keputusan sampel yang diterima dari VRI, Ipoh.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan 45 kes gigitan baru dilaporkan hari ini, iaitu enam kes di Bahagian Serian, tiga kes di Bahagian Sri Aman, 34 kes di  Bahagian Kuching dan dua kes di Bahagian Samarahan.

Daripada jumlah tersebut 39 kes melibatkan haiwan peliharaan, iaitu anjing 19 kes dan kucing 20 kes, manakala enam kes melibatkan haiwan liar, iaitu anjing empat kes, sementara kucing dan monyet masing-masing satu kes.

Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan haiwan yang berlaku sejak 1 April 2017 hingga ke hari ini adalah berjumlah 2,107 kes.

Secara kumulatifnya seramai 898 orang telah menerima suntikan vaksin anti-rabies. –Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com