'Wau Wow Merdeka' Tema Sambutan Hari Kemerdekaan Di Sekolah Rendah Seri Impian Meriah


BUKIT MERTAJAM - Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Impian, Kubang Semang, di sini, menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos ini dengan menghias 60 jenis wau dan layang-layang bercorakkan Jalur Gemilang di ruang dataran terbuka sekolah itu.

Bertemakan ‘Wau Wow Merdeka’, lebih 1,000 individu membabitkan guru, murid dan ibu bapa mengambil bahagian untuk menghasilkan wau dan layang-layang berkenaan sejak tiga minggu lalu.

Guru Besar sekolah itu, Jura Hamid berkata, program itu kesinambungan aktiviti hari kemerdekaan dijalankan tahun lalu iaitu menaikkan 100 unit payung bercorakkan Jalur Gemilang hingga ia mendapat liputan meluas berikutan konsepnya yang lain daripada lain.

“Bermula daripada ikon payung, kita memikirkan lagi idea kreatif boleh diambil untuk sambutan kali ini dan terhasilnya dua wau gergasi, 32 wau biasa dan 26 layang-layang bercorakkan Jalur Gemilang dengan kerjasama guru, murid serta ibu bapa.

“Tujuan kita bukan mahu bermegah-megah, tetapi kerana atas dasar semangat cintakan negara di samping mahu murid menghayati simbolik yang ada pada wau itu sendiri,” katanya.

Jura berkata, aktiviti sedemikian lebih mendekatkan guru, murid dan ibu bapa dalam menghayati erti kemerdekaan selepas 60 tahun masyarakat di bumi Malaysia bebas daripada cengkaman penjajah.


Beliau berkata, murid diminta dapat menuntut ilmu dengan sebaiknya apabila kemakmuran dinikmati kini berbeza sama sekali dengan rakan seusia mereka sebelum negara mendapat kemerdekaan.

“Disebabkan itu, pihak sekolah cuba meningkatkan penghayatan murid terhadap kemerdekaan berikutan ia menjadi hasrat kerajaan dengan menaikkan semangat patriotik mereka melalui penganjuran aktiviti seperti ini.

“Selain menghias wau dan layang-layang Jalur Gemilang, pelbagai lagi aktiviti sepanjang bulan kemerdekaan sudah diatur pihak sekolah antaranya slot bersama tokoh, perbarisan Jalur Gemilang merentas taman dan pameran kemerdekaan,” katanya.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com