Wanita Didakwa Tipu Jual 28 iPhone Tidak Wujud


PARIT - Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam terhadap dua pertuduhan menipu dalam urusan jual beli 28 unit telefon pintar iPhone dan komputer riba yang tidak wujud membabitkan kerugian sebanyak RM27,200, tahun lalu.

Nisha Hidayah Mansor, 21, didakwa memperdayakan Ahmad Adib Azhar, 21, dengan mendorong lelaki itu menyerahkan wang sebanyak RM12,950 melalui akaun Maybank dan CIMB Bank bagi tujuan pembelian 12 buah telefon pintar jenama iPhone 6S yang tidak wujud.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Universiti Teknologi Petronas (UTP) Seri Iskandar di sini pada pukul 10 malam, 10 Jun 2016.

Nisha Hidayah turut didakwa menipu Nur Izzatty Salimun, 20, dengan mendorongnya menyerahkan wang berjumlah RM14,250 melalui akaun Maybank bagi tujuan pembelian 16 buah telefon pintar jenama iPhone 6S dan sebuah komputer riba yang tidak wujud.

Kesalahan itu dilakukannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar pada pukul 1 petang, 11 Julai 2016.

Kedua-dua pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Majistret Mohd. Fitri Sadarudin membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 30 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com