Wanita Dicabul Di Flat Oleh Kenalan Facebook


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berstatus penduduk tetap dicekup selepas dipercayai mencabul kenalan wanitanya di sebuah flat.

Sebelum itu, mangsa berusia lingkungan 20-an telah berkenalan dengan suspek di laman sosial Facebook pada 15 Julai lalu.

Difahamkan, sepanjang tempoh perkenalan itu, suspek telah berusaha beberapa kali untuk meminta gambar kenalannya itu.

Kemudian, pada 24 Julai, mangsa telah datang ke Kuala Lumpur dari Pulau Pinang untuk bertemu dengan suspek. Mangsa yang tiba telah pergi ke Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur apabila mangsa dijanjikan untuk menempatkannya tidur di sebuah sekolah tahfiz.

Bagaimanapun, sangkaan itu meleset apabila suspek membawa mangsa ke sebuah flat kira-kira jam 1 pagi.

Mangsa  diarah duduk sebelah suspek sebelum suspek bertindak memeluknya.

Tindakan suspek membuatkan mangsa terkejut lalu menolaknya dan menyembunyikan diri di dalam bilik rumah flat tersebut. Mangsa telah mengunci pintu sehingga awal pagi sebelum melarikan diri kira-kira jam 6.30 pagi dan bergegas pulang ke Pulau Pinang.

Suspek sudah ditahan kira-kira jam 6.30 petang di Kuala Lumpur, semalam.

Difahamkan, suspek memiliki beberapa rekod jenayah lampau antaranya rompakan berkumpulan, keganasan rumah tangga, cabul dan menceroboh.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com