Vandalisme Buat Maya 'Naik Hantu'


PELAKON popular Maya Karin menafikan tersinggung apabila ada peminat mengaitkan wataknya sebagai pontianak dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam dengan visual pocong dan patung Annabelle 2 di salah sebuah stesen Transit Aliran Massa (MRT) yang tular baru-baru ini.

Seorang peminat memuat naik status ke Twitter dengan mengatakan sebaiknya watak Maya itu turut diletakkan di stesen terbabit.

Perkara itu sekali gus mengundang pelbagai reaksi dan di laman sosial terbabit.

Berikutan itu, Maya membalas dengan menulis ‘saya memang cepat naik hantu apabila orang tidak menghormati kemudahan awam’ sebagai teguran kepada segelintir masyarakat melakukan vandalisme di stesen MRT terbabit.

“Saya menganggap visual pocong dan juga watak filem seram Annabelle 2 yang sedang ditayangkan di pawagam sekarang ini sebahagian daripada gimik.

“Apabila mereka mengaitkan saya dalam perkara itu, saya cuba mengetengahkan isu vandalisme dalam bentuk gurauan. Tidak sangka pula ada yang menganggap saya marah. “Tambahan pula saya tidak mahu membicarakan isu terbabit dalam situasi serius, nanti payah diterima umum,” katanya.

Maya turut kesal apabila ada pihak tidak bertanggungjawab melakukan kerosakan kepada kemudahan awam.

“Sepatutnya semua orang menjaga kemudahan awam seperti MRT kerana ia milik kita. Bayangkan betapa mudahnya kita bergerak dengan adanya pengangkutan awam ini.

“Ketika remaja dulu, saya perlu menunggu berjam-jam lamanya untuk menaiki bas di sekitar Kuala Lumpur. Sekarang, di kawasan kediaman saya di Taman Tun Dr Ismail dan Damansara sudah ada kemudahan MRT. Ia memudahkan orang ramai bergerak. Jadi janganlah ada pihak mahu merosakkannya pula,” katanya.

Dalam pada itu, peminat turut meminta RapidKL melamar Maya sebagai duta pengangkutan awam.

Maya berkata, dia bersedia menjalin kerjasama dengan RapidKL bagi meningkatkan kesedaran umum mengenai kepentingan menjaga kemudahan awam.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com