UniMAP Denda Pelajar RM62,500 Kotorkan Asrama, Tak Pulang Kunci


PETALING JAYA - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menuntut denda berjumlah RM62,500 daripada pelajar yang didapati mengotorkan dan tidak memulangkan kunci asrama.

China Press memetik sumber sebagai berkata, Kolej Kediaman Tan Sri Aishah Ghani (KKTAG) mula mendenda 1,178 pelajar RM50 seorang berdasarkan 2 kesalahan itu, sejak 1 Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 1,040 penghuni KKTAG didapati mengotorkan bilik mereka, 66 pelajar tidak memulangkan kunci dan 72 lagi melakukan 2 kesalahan itu serentak.

Warden asrama itu pada 7 Ogos lalu memuat naik kenyataan di Facebook bagi menjawab pelbagai pertanyaan pelajar. Beliau berkata, denda itu bertujuan mendidik dan mengingatkan pelajar menjaga kebersihan asrama.

Beliau berkata, UniMAP boleh mendenda pelajar berdasarkan 4 peraturan universiti, iaitu peraturan ke-5 (mengotor atau merosakkan kemudahan asrama), peraturan ke-12 (tidak memulangkan kunci asrama dalam tempoh ditetapkan), peraturan ke-15 (mengalihkan kemudahan asrama tanpa kebenaran) dan peraturan ke-30 (tidak mengemas atau membuang sampah dalam bilik).

“Tetapi, pihak pengurusan hanya mengenakan denda berdasarkan 2 kesalahan, iaitu mengotorkan asrama dan tidak memulangkan kunci sebagai amaran kepada pelajar terbabit.”

Beliau berkata, asrama itu dilengkapi 560 bilik, tetapi “hanya” 233 bilik atau 42% melakukan kesalahan berkenaan.

“Tetapi, jumlah (denda) itu dijangka dikurangkan berdasarkan maklum balas daripada pertanyaan pelajar.”

Katanya, penghuni KKTAG boleh menghubungi atau pergi ke pejabat pengurusan sebelum 30 Ogos untuk melihat sendiri bukti dikumpul mereka dan pelajar terbabit boleh mengemukakan rayuan mengurangkan denda sebelum 15 September.

Difahamkan, KKTAG yang memuatkan 2,586 pelajar adalah asrama paling lama dan ke-3 terbesar daripada 6 kolej kediaman di UniMAP.

Sumber: FMT

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com