UMNO Komited Lebih Ramai Wanita Dicalon PRU14 - Zahid Hamid


BATU PAHAT - UMNO komited dalam memastikan lebih ramai wanita ditampilkan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 bagi mencapai hasrat 30 peratus kaum Hawa itu sebagai pembuat dasar.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata,  sudah tiba masanya lebih ramai wanita diketengahkan sebagai anggota parlimen, anggota dewan undangan negeri (ADUN) malah sebagai menteri selaras dengan negara yang sudah mencapai 60 tahun kemerdekaan.

"Dalam mencapai 60 tahun merdeka, kita harus berubah minda dan sikap berhubung wanita. Apabila wanita bekerja kuat, jangan puji mereka (wanita) secara retorik sebaliknya beri mereka peluang untuk bertanding pada PRU.

"Bagi mereka kedudukan kerana wanita hari ini telah berada di peringkat profesional dan boleh membuat keputusan yang baik di negara ini," katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Parit Sulong di Maktab Rendah Sains Mara Batu Pahat, di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong Datuk Zulkurnain Kamisan.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata dalam situasi dunia tanpa sempadan dan langit terbuka ketika ini, ramai pemimpin wanita di dunia Islam sudah mula melakukan perubahan.

Malaysia juga sedang menggerakkan usaha menggalakkan peranan wanita dalam kerajaan, kata Zahid yang kini turut menjalan tugas Timbalan Presiden UMNO.

"Perdana Menteri Bangladesh, ada Khaleda Zia, Presiden Indonesia, Megawati Sukarnoputri dan Thailand juga pernah memiliki perdana menteri wanita. Insya Allah, Speaker Parlimen Singapura Halimah Yacob juga akan menjadi Presiden Singapura sama-sama kita doakan," katanya.

Beliau yang berpandangan Malaysia perlu mengambil langkah proaktif dalam memartabatkan wanita turut meminta Mohamed Khaled supaya meneliti calon wanita yang sesuai bagi bertanding di kerusi parlimen dan dewan undangan negeri di negeri ini.

"Mohamed Khaled kena tengok supaya ada wanita calon parlimen atau ADUN. Saya bagi sokongan kepada Mohamed Khaled," katanya.

 Sementara itu, Ahmad Zahid turut meminta seluruh jentera UMNO Johor terutamanya anggota UMNO Parit Sulong supaya menyerap semangat Panglima Kiai Salleh dalam menentang kekejaman komunis di Batu Pahat demi memastikan benteng UMNO negeri itu terus kukuh.

Menteri Dalam Negeri itu berkata semangat Panglima Kiai Salleh harus ada dalam setiap anggota parti sejajar dengan UMNO yang tidak pernah sesekali mengizinkan Johor diambil alih oleh pembangkang.

"Saya mengimbas sejarah Panglima Kiai Salleh ini kerana kita sering lupakan sejarah. Bagaimana Panglima Kiai Salleh tetap bersemangat tinggi seolah-olah beliau mempunyai tentera yang banyak walaupun sebenarnya tentera itu sedikit dalam melawan komunis.

"Generasi kedua dan ketiga dalam pemimpin UMNO harus ambil roh perjuangan Panglima Kiai Salleh sebagai mercu tanda baru bagaimana Johor perlu dipertahankan daripada musuh," katanya.

- Bernama.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com