Tuntutan Palsu, Suami Isteri Direman Enam Hari


KUALA TERENGGANU - Sepasang suami isteri direman selama enam hari sehingga Sabtu ini, selepas dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM211,646.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret, Noradila Ab Latiff hari ini bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dijalankan.

Wanita berusia 28 tahun yang juga kakitangan kerajaan dan suaminya, seorang pengurus sebuah syarikat yang berusia 26 tahun, dikatakan membuat tuntutan bagi pembekalan telur dan susu kepada Jabatan Dietetik dan Sajian di sebuah hospital di Kuala Terengganu antara Februari hingga Julai lalu.

Terdahulu, kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kira-kira jam 10 pagi semalam, sambil diiringi empat pegawai SPRM untuk mendapatkan perintah reman.

Pasangan itu dipanggil bagi membantu siasatan di pejabat SPRM Terengganu, di sini kira-kira jam 6 petang kelmarin, sebelum ditahan.

Suspek lelaki itu dikatakan mengemukakan empat tuntutan palsu melalui Pesanan Kerajaan berjumlah RM113,066 bagi pembekalan telur ke Jabatan Dietetik dan Sajian di sebuah hospital di daerah ini pada Februari dan Jun lalu, sedangkan pembekalan itu sebenarnya tidak dilakukan.

Siasatan awal SPRM mendapati, suspek turut mengemukakan dua lagi dokumen tuntutan palsu melalui Pesanan Kerajaan, masing-masing berjumlah RM49,290 bagi pembekalan susu ke jabatan sama pada bulan Jun dan Julai lalu.

SPRM yang menjalankan operasi berhubung kes itu kelmarin, turut menahan isterinya yang bertugas di hospital berkenaan, yang dipercayai turut terbabit dalam kes itu.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com