Transformasi Gadis Montel Dapat Perhatian Netizen


Berat badannya pernah mencecah sehingga 104 kilogram (kg) satu ketika dulu tetapi senaman dan diet konsisten diamalkan sejak berumur 15 tahun membantu Joanna Joseph, 20, mendapatkan tubuh ideal.

Sejak itu, keyakinan diri Joanna bertambah sehingga mendorongnya aktif dalam bidang peragaan bermula umur 17 tahun.

Namun, Joanna berkata, bukan mudah untuknya memiliki tubuh idaman ramai gadis malah mengakui hampir berputus asa tetapi kembali bersemangat kerana mendapat sokongan kuat daripada bapa.

“Ketika di sekolah rendah, saya kerap dibuli selain dipulaukan rakan hanya kerana tidak fasih berbahasa Melayu dan bertubuh besar.

“Ia berterusan sehingga memasuki sekolah menengah dan keadaan itu menyebabkan saya lebih selesa meluahkan perasaan dalam diari.

“Namun, keadaan berubah ketika di tingkatan tiga selepas cuba mengamalkan diet dan senaman dengan bimbingan bapa saudara yang juga jurulatih gimnasium,” katanya yang juga anak tunggal dalam keluarga.


Joanna berkata, sejak itu dia tidak ketinggalan melakukan senaman setiap hari dan sanggup memuat naik aplikasi bagi merekod tahap kecergasannya.

Pada masa terluang pula, penuntut Diploma Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) itu lebih suka menghabiskan masanya dengan menonton video berkaitan senaman dan perkata lain yang berkaitan pemakanan sebagai rujukan.

“Tidak sampai setahun, berat badan saya turun sehingga 53kg sehingga ramai rakan dan guru terkejut dengan perubahan itu.

“Mereka seperti tidak percaya dan lebih mengejutkan, ada rakan yang dulunya suka menjauhkan diri datang meminta maaf.

“Namun, ada juga yang menuduh saya ‘mak nyah’, mengambil dadah dan melakukan pembedahan plastik untuk menurunkan berat badan selepas kisah transformasi saya tular di media sosial,” katanya.

Menurut Joanna, di sebalik kecaman diterima, ramai juga yang memuji usahanya mengubah penampilan selain meminta tip menurunkan berat badan.

Katanya, sokongan dan maklum balas positif diterima menyebabkan dia bersemangat berkongsi tip dan pengalaman kisah suka duka menerusi buku digital (e-book) yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

“Sejak tular di media sosial, ramai mengirim mesej kepada saya untuk mengetahui tip yang boleh diamalkan mereka untuk menurunkan berat badan.

“Disebabkan tidak dapat membalas semua mesej berkenaan, saya bercadang menerbitkan buku digital bertajuk ‘Live to Inspire’.

“Selain itu, saya juga bercadang mengadakan kelas tertutup bersama mereka yang berminat dan berharap apa yang dirancang menjadi kenyataan,” katanya yang pernah memenangi gelaran Miss Selangor Earth 2016.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com