Tragedi Langgar Lampu Merah, Bayi Maut Dalam Kemalangan Di Perak


BAYI perempuan maut manakala tiga cedera dalam kemalangan dua kenderaan di Kilometer 14 Jalan Lumut-Ipoh dekat Manjung, 9 malam kelmarin.

Mangsa, Nur Raisya Azzahra Muhd Azlizan Shah berusia dua bulan meninggal dunia di Hospital Seri Manjung (HSM) ketika menerima rawatan pada 1.30 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, kemalangan membabitkan Honda City yang dinaiki mangsa bersama ibu serta dua penumpang lain dan Isuzu Dmax.

Menurutnya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Honda City yang dipandu ibu mangsa, Noor Safiah Yusoff, 23, dalam perjalanan dari arah Beruas menghala ke Lumut.

"Apabila tiba di lampu isyarat Kampung Sungai Wangi dipercayai wanita terbabit meneruskan perjalanan apabila lampu berwarna hijau.

"Namun, tiba-tiba pacuan empat roda yang datang dari arah Lumut membelok ke kanan dan dipercayai ketika itu lampu isyarat berwarna merah dilaluannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, jarak yang terlalu dekat menyebabkan Honda City berkenaan tidak sempat mengelak dan brek lalu melanggar pacuan empat roda berkenaan pada bahagian hadapan di sebelah kiri.

"Akibat kemalangan itu, bayi berkenaan meninggal dunia di wad kecemasan pada 1.30 pagi dan dibawa ke Jabatan Forensik HSM untuk bedah siasat manakala ibunya yang berkerja sebagai guru mengalami sakit di bahagian perut.

"Manakala penumpang hadapan Honda City, wanita berusia 52 tahun patah kaki dan tangan selain lebam di mata dan seorang lagi wanita yang juga penumpang belakang patah kaki," katanya.

Muhammad Hanif berkata, bagaimanapun tiada butiran pemandu pacuan roda berkenaan dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan pemandu atau pemilik kenderaan berkenaan.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com