Tipu! Konon Tunggakan Bil Internet Cecah RM15,000


ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake) menerima 17 aduan melibatkan pelbagai kes pendaftaran palsu talian internet setiap tahun.

Setiausaha Cake, Mohd Yusizal Yusoff berkata, terbaru pihaknya menerima aduan pengguna yang mendakwa menerima bil talian internet yang tidak pernah digunakan pada Jun lepas.

“Dalam kes ini, usahawan itu terkejut apabila menerima bil internet lebih RM15,000, walhal tidak pernah mendaftar dengan syarikat telco terlibat.

“Dia hanya mengetahui memiliki tunggakan pada 26 April lalu daripada pemungut hutang untuk mendapatkan bayaran bil internet yang didakwa didaftarkan atas nama syarikat usahawan itu,” katanya.

Bagaimanapun, usahawan terbabit baru sahaja menyedari kewujudan langganan internet itu.

Susulan itu, usahawan terbabit membuat aduan kepada Cake untuk membantunya menyelesaikan masalah berkaitan bil bayaran mencecah ribuan ringgit dengan syarikat telco.

Yusrizal berkata, dalam satu kes, seorang pelajar yang melanjutkan pelajaran di Johor turut menerima bil internet yang tidak pernah digunakannya.

“Apabila diselidik, pelajar itu memang ada mendaftar satu talian. Namun, dia tidak menyedari namanya didaftarkan untuk dua talian berbeza,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengesyaki ada pihak tidak bertanggungjawab telah menggunakan maklumat peribadi mangsa untuk membuat pendaftaran palsu.

Untuk itu, katanya, dia menasihati pengguna supaya berhati-hati memberi salinan maklumat pengenalan diri pada mana-mana pihak agar tidak disalah guna.

“Jikalau pengguna ada beri salinan MyKad untuk sebarang pendaftaran, pastikan tanda pada dokumen itu. Sebab sekarang dengan serah pengenalan diri, sudah boleh buat macam-macam,” katanya.

Malah, katanya, ada pendaftaran tidak memerlukan kehadiran pengguna, sebaliknya melalui dalam talian ataupun menyerahkan salinan dokumen sahaja.

“Jadi, pengguna sebegini berisiko dianiaya ejen yang ingin mengaut keuntungan untuk mendapat komisen lebih bagi setiap pendaftaran pelanggan dilakukan mereka,” katanya.

Menurut Yusrizal, tidak dinafikan isu pendaftaran palsu boleh diselesaikan, bagaimanapun pengguna terpaksa melalui prosedur sulit.

“Untuk membetulkan keadaan, pengguna perlu membuat akuan sumpah di Pejabat Pesuruhjaya Sumpah, sebelum melaporkan di balai polis dan sebagainya,” katanya.

Untuk itu, katanya yang juga Timbalan Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia mencadangkan syarikat telekomunikasi menggunakan sistem biometrik kerana lebih selamat.

Dalam perkembangan lain, katanya, Cake turut menerima aduan berkaitan pendaftaran palsu melibatkan pembelian motosikal, kad kredit dan pembiayaan peribadi.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com