The Dark Tower Adaptasi Novel Popular Stephen King


SETELAH beberapa kali tertangguh dalam pembikinannya, filem yang ditunggu ramai, The Dark Tower kini menemui penonton di seluruh pawagam mulai 3 Julai lalu.

Filem adaptasi daripada novel popular penulis Stephen King yang menggunakan tajuk yang sama ini menyaksikan gandingan hebat dua pelakon, Idris Elba dan Matthew McConaughey yang disifatkan sebagai pilihan yang cukup tepat dalam merealisasikan watak yang menjadi penggerak filem ini.

Filem The Dark Tower memberi tumpuan kepada karakter Roland Deschain (Idris Elba) yang diambil dari siri pertama The Dark Tower iaitu The Gunslinger di mana Gunslinger yang terakhir iaitu Roland telah terkunci dalam pertempuran abadi dengan Man in Black untuk mempertahankan Dark Tower.

Bagaimanapun ceritanya bukanlah seratus peratus daripada  siri ini kerana apa yang dirangkumkan dalam filem arahan Nikolaj Arcel ini boleh dikatakan mempunyai hubungan dengan lapan novel Stephen yang dilakukan dengan cukup kreatif.

Ceritanya bermula dengan seorang budak lelaki berusia 11 tahun, Jake Chambers yang mendapat tahu mengenai dimensi lain yang dipanggil Mid-World menerusi mimpinya. Disebabkan sering diganggu mimpi tersebut, Jake membuat keputusan untuk pergi ke dimensi tersebut.

Di sana dia bertemu dengan seorang pahlawan, Roland Deschain, seorang ahli penembak terakhir dalam kumpulannya yang sedang dalam perjalanan mencari The Man In Black yang mahu menakluki dunia dengan kuasa jahatnya.

Roland berharap dapat sampai ke Dark Tower itu supaya dia dapat menghalang dunia yang sedang nazak daripada musnah, tetapi pengembaraan mereka tidak mudah kerana mereka perlu berdepan kejahatan Walter Padick.

The Dark Tower tampil dengan penceritaan yang cukup straight forward dan tidak memeningkan kepala penonton untuk memahami jalan cerita dan apa yang sedang berlaku kepada watak-watak yang ditampilkan.

Nikolaj Arcel selaku pengarah mengambil pendekatan sebegitu kerana tidak mahu penonton tertinggal dengan apa yang ditampilkan dalam setiap babak dan jelas dengan tujuan setiap karakter yang muncul di sepanjang cerita ini.

Banyak babak aksi menarik yang dipaparkan terutamanya yang melibatkan watak Idris Elba yang seperti biasa, sentiasa tampil dengan stailnya yang cukup tersendiri dan mudah meyakinkan penonton untuk percaya dengan apa yang ditampilkan.

Namun sedikit kekecewaan apabila babak klimaks filem ini tidak berlaku seperti yang diharapkan di mana pertembungan antara Roland dan Walter yang sepatutnya menjadi pertarungan yang epik, disudahkan dengan begitu mudah sekali.

Secara keseluruhannya, filem ini masih menghiburkan untuk ditonton terutamanya kepada peminat filem-filem aksi fantasi.

The Dark Tower

Pengarah: Nikolaj Arcel

Pelakon: Idris Elba, Matthew McConaughey, Tom Taylor, Jackie Earle Haley

Genre: Aksi/fantasi

Durasi: 95 minit

Klasifikasi: P13

Tayangan: 3 Ogos 2017

Bintang: 3.5

Sumber: Sinar Harian 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com