Terus Ambil Pelbagai Inisiatif Kekang Daesh


KERAJAAN akan terus memantau dan mengambil pelbagai inisiatif sebagai langkah mengekang militan Daesh di negara ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, ancaman terbesar negara buat masa kini adalah militan Daesh.

"Kita memantau dengan lebih rapat konflik di Marawi (Filipina) dan terbaru inisiatif yang dilaksanakan adalah Trilateral Maritime Patrol (TMP) bagi memastikan anggota militan Daesh tidak menjadikan laut Sulu sebagai laluan tikus untuk menceroboh masuk ke negara ini.

“Selain itu, kita akan melaksanakan Trilateral Air Patrol (TAP) dalam masa terdekat ini yang dilancarkan di Subang dan kita juga turut bekerjasama dengan Jepun untuk memperoleh pesawat P3 Orion," katanya ketika sidang media selepas Majlis Penganugerahan Battle Honour 'Daulat Februari 2013' di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharom.

Hishammuddin berkata, pihaknya turut memperluaskan inisiatif dan kerjasama kawalan maritim dengan Brunei Darussalam, Singapura dan negara ASEAN lain.

Terdahulu, dalam majlis itu seramai 61 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikurniakan Pingat Kedaulatan Negara (PKN).

Penganugerahan ini diberikan kepada anggota ATM yang terbabit dalam Op Daulat bagi insiden berdarah pencerobohan pengganas di kawasan pantai timur khususnya di Lahad Datu pada 11 Februari 2013.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com