Teruja Terima Undangan Majlis Perkahwinan Tunku Aminah


JOHOR BAHRU - Puteri tunggal Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengundang kakitangan istana menghadiri majlis perkahwinannya pada 14 Ogos ini.

Beliau yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan pemuda Belanda, Dennis Muhammad Abdullah, berkata semua individu itu istimewa baginya sejak usia kanak-kanak.

Mereka yang menerima undangan terdiri daripada pelatih kuda yang mengajar Tunku Tun Aminah menunggang kuda, pemandu yang membawanya ke sekolah dan anggota Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN) serta pengawal peribadi.

“Saya membesar bersama orang-orang ini dan mereka sangat istimewa buat saya. Saya mahu mereka berada pada hari perkahwinan ini untuk berkongsi kebahagiaan saya.  

“Pemandu dan pengawal peribadi yang menghantar saya sering mengingatkan bahawa saya adalah satu-satunya puteri Tuanku Sultan, dan menasihatkan saya untuk menjadi seorang yang baik,” katanya menerusi Royal Press Office, di sini, semalam.

Tunku Tun Aminah merupakan puteri tunggal Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah yang membesar bersama lima adik-beradik lelaki di Istana Pasir Pelangi.

“Setiap petang selepas sekolah, saya bersama adik-beradik akan pergi bermain dengan pelatih-pelatih kuda dan menjamu selera di warung yang disediakan untuk mereka.

“Selain pelatih-pelatih kuda, saya juga akan mengundang kakitangan istana lain yang menjaga kami. Mereka sebahagian daripada zaman kanak-kanak saya dan telah mengajar saya nilai-nilai untuk berkhidmat dengan berdedikasi, kesetiaan dan kebaikan,” katanya.

Tunku Tun Aminah berkata, sebagai hadiah sempena perkahwinan, kakitangan yang lama berkhidmat akan menerima cenderahati khas yang beliau reka sendiri.

Sementara itu, beberapa warga kerja Istana Johor begitu terharu dan terkejut apabila menerima undangan majlis perkahwinan Tunku Aminah.

Menurut pelatih kuda dan pemain Kelab Polo Diraja Johor, Adnan Othman, 45, dia begitu terkejut dan bagaikan bermimpi ketika menerima undangan daripada puteri tunggal Sultan Johor tersebut.

“Saya terkejut dan bagaikan bermimpi apakah betul atau tidak mendapat undangan itu sehingga meremang bulu roma.  

“Saya berasa diri ini amat dihargai apabila Tunku Aminah tidak melupakan saya dengan mengundang untuk hadir pada perkahwinannya,” katanya.

Kegembiraan yang sama turut dikongsi oleh dua lagi pelatih kuda Tunku Aminah, Zubir Selamat, 35, dan Mohd Fazli Selamat, 37, yang menganggapnya sebagai suatu penghormatan.

Zubir berkata, dia mengenali Tunku Aminah sejak berusia empat tahun dan sedikit sebanyak berkongsi pengajaran mengendalikan kuda bersamanya.  

“Walaupun Tunku seorang yang pemalu, beliau sangat berdisiplin dan bagaikan rakan karib kepada kami semua di sini,” katanya.

Manakala bagi Mohd Fazli yang sudah bekerja sebagai pelatih kuda hampir 21 tahun menganggap undangan perkahwinan itu sebagai satu penghormatan bagi mereka bertiga.

“Kami berterima kasih kepada Tunku Aminah kerana tidak pernah melupakan kami,” katanya.

Sumber: Sinar Harian 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com