Terkejut Durian Belanda Bersaiz Gergasi


KUALA KRAI - Seorang pemilik kebun durian belanda di Kampung Enggong, dekat sini, tidak menduga buah ditanam di Permata Rimba sejak lima tahun lalu mampu mencapai berat sehingga 4.2 kilogram.

Maimun Awang, 59, berkata, kebiasaannya berat durian belanda di kebunnya sekitar 800 gram hingga 1.5 kilogram sahaja.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila buah durian belanda ditanamnya boleh mencapai sehingga 4.2 kilogram.

"Biasanya saya jual durian belanda dengan harga RM15 sekilogram, tapi buah ini saya tak jual terus. Saya proses dan jual secara sejuk beku sekitar Kuala Lumpur dengan harga RM20 sekilogram.

“Selalunya ramai yang datang tempah untuk beli buah di kebun,” katanya.

Maimon berkata, kini 10 daripada 30 pokok durian belandanya mengeluarkan hasil yang kebanyakannya berbuah sepanjang masa.

Katanya, benih durian belanda berkenaan dibeli di Pasar Borong Kuala Krai lima tahun lalu.

"Lepas pokok berbuah, saya ambil bijinya untuk dijadikan benih baru. Jadi banyak pokok dapat ditanam," katanya.

Tambahnya, hasil pemerhatiannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, buah yang ditanam berhampiran tempat sejuk seperti parit, pokoknya agak subur dan mampu mengeluarkan buah dengan saiz agak besar.

Pemangku Pegawai Pertanian Kuala Krai, Hong Feng Hai berkata, durian belanda dengan berat 3 kilogram biasa ditemui tetapi 4.2 kilogram jarang dijumpai.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com