Tentera AS Pasang Radar Di Palau Dekat Pasifik


KOROR, PALAU - Amerika Syarikat (AS) mengumumkan rancangan untuk memasang sistem radar di Palau, langkah yang akan meningkatkan keupayaan pemantauannya di rantau Pasifik barat yang baru-baru ini digugat ancaman Korea Utara.

Dalam satu kenyataan bersama, Jabatan Pertahanan AS dan kerajaan Palau berkata mereka sedang berusaha memuktamadkan lokasi menara radar di negara kepulauan dengan 22,000 orang penduduk itu.

"Sistem radar akan memberikan Palau keupayaan penguatkuasaan undang-undang maritim yang dipertingkatkan. Ia turut menjadikan AS lebih peka dengan persekitaran ruang udara yang lebih luas demi keselamatan dan keselesaan penerbangan," kata mereka dalam kenyataan bertarikh 21 Ogos.

Walaupun Palau adalah sebuah negara yang merdeka, ia tidak mempunyai tentera dan AS bertanggungjawab ke atas pertahanan negara itu di bawah perjanjian dengan Washington.

Palau terletak kira-kira 1,300 kilometer di barat daya Guam, wilayah Pasifik AS yang diancam senjata nuklear oleh Pyongyang baru-baru ini.

Sistem radar itu membantu Palau memantau kawasan larangan maritim seluas 500,000 kilometer persegi yang diwujudkan pada 2015.

Kawasan perlindungan yang hampir menyamai keluasan Sepanyol itu sukar dipantau terutamanya aktiviti penangkapan ikan haram. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com