Tak Pernah Galak Mangsa Rogol Kahwin Dengan Pesalah


KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak pernah menggalakkan mangsa rogol, khususnya gadis bawah umur berkahwin dengan pelaku jenayah itu.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, perkahwinan bawah umur akan mengganggu peluang untuk mereka mengembangkan potensi, selain memberi cabaran dan tekanan fizikal serta mental kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, dalam isu membabitkan seorang gadis bawah umur yang berkahwin dengan perogolnya di Sabah, KPWKM akur dengan keputusan mangsa serta keluarga yang mahu meneruskan perkahwinan berkenaan.

"Kementerian akur keputusan mangsa dan keluarga dalam meneruskan perkahwinan pasangan berkenaan menurut lunas undang-undang sedia ada.

"Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di negeri-negeri memperuntukkan perkahwinan bawah umur 16 tahun dibenarkan dengan kelulusan Mahkamah Syariah," katanya kenyataan itu.

KPWKM mengulas laporan media kelmarin berhubung jawapan bertulis Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang menyifatkan gadis bawah umur itu berada dalam keadaan baik walaupun masih berkahwin dengan perogolnya, Riduan Masmud, 44, yang kini menjalani hukuman penjara selama bagi tempoh 12 tahun selepas didapati bersalah merogol mangsa pada 2015.

Jawapan bertulis Rohani kepada Teo Nie Ching (DAP-Kulai) itu mendapat pelbagai maklum balas, khususnya apabila kanak-kanak itu dimaklumkan enggan bersekolah kerana malu dengan liputan media meluas mengenai isu terbabit.

KPWKM berkata, pihaknya bersedia memberikan sokongan sosial seperti kaunseling dan pemantauan berkala demi kebajikan kanak-kanak itu dan keluarganya, selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus memantau perkembangan kanak-kanak berkenaan.

Dalam pada itu, KPWKM menegaskan, perkahwinan dengan mangsa rogol tidak melindungi pesalah daripada dihukum atas kesalahan jenayah yang dilakukan.

"Hukuman dijatuhkan ke atas pesalah bagi kes berkenaan jelas menunjukkan sistem perundangan sedia ada adalah mantap dalam melindungi mangsa jenayah, khususnya kes membabitkan kanak-kanak," katanya.

Riduan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan pada 3 Februari 2014 selepas didapati bersalah merogol seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 12 tahun ketika kejadian dalam sebuah kereta berhampiran air terjun Kionsom, Inanam, dekat sini, kira-kira jam 10 pagi pada 18 Februari 2013.

Kes itu mendapat perhatian ramai apabila Mahkamah Sesyen pada 20 Mei 2013 dimaklumkan, Riduan sudah berkahwin dengan gadis terbabit pada 7 Mei 2013 mengikut undang-undang Syariah, malah salinan sijil perkahwinan turut diserahkan kepada mahkamah.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com